KOMITMEN besar pemain dituntut sepenuhnya, ketika barisan jurulatih badminton negara, memainkan peranan masing-masing melindungi atlet daripada gangguan luaran yang tidak perlu.

Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky berkata, pemain akademi terbabit yang melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris dituntut memberi 100 peratus tumpuan kepada latihan dan kejohanan yang disertai.

“Saya hanya mahu komitmen daripada pemain, selebihnya biar jurulatih yang pening kepala!” kata Rexy, dalam sidang media di ABM, pada Rabu.

Ketika Sukan Olimpik Paris 2024 berbaki 73 hari sebelum membuka tirai dari 26 Julai hingga 11 Ogos depan, Rexy mahu pemain tidak dibebani perkara yang tidak perlu.

Aaron Chia-Soh Wooi Yik, antara atlet negara yang diletak harapan meraih pingat emas Olimpik pertama negara di Paris.

Bekas juara dunia dan Olimpik dari Indonesia itu berkata, jurulatih akan menjadi barisan hadapan untuk menangkis segala tekanan atau faktor luaran yang tidak diperlukan pemain dalam tempoh genting ini.

“Saya sudah mengadakan pertemuan dengan pemain dan jurulatih pada Isnin lalu bagi bercakap mengenai perkara ini. Saya tidak mahu pemain fikir mengenai perkara lain selain latihan dan kejohanan mereka.

“Saya sudah maklumkan kepada jurulatih yang terbabit dengan program RTG (Road to Gold), mereka mesti berkorban untuk pastikan pemain dalam keadaan terbaik.

Pearly Tan-M Thinaah perlu lebih fokus dan mempunyai ketahanan mental yang kuat.

“Kita mahu pemain tahu yang jurulatih mengambil tanggungjawab untuk menjaga mereka.

“Jadi, sebagai balasan saya hanya mahu komitmen daripada pemain dan mereka perlu beraksi pada tahap terbaik di Olimpik,” kata Rexy ketika ditemui selepas sesi latihan skuad badminton negara di ABM pada Rabu.

Sebanyak tiga wakil negara di bawah Persatuan Badminton Malaysia (BAM) layak ke Olimpik Paris kali iaitu beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik; beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah dan beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei.

Dua lagi adalah pemain perseorangan lelaki dan wanita profesional iaitu Lee Zii Jia dan Goh Jin Wei.

Chen Tang Jie-Toh Ee Wei harus lebih positif dan kekal tenang dalam perlawanan.

Sebagai persiapan ke Paris, pemain negara akan menyertai tiga kejohanan bermula Masters Malaysia dari 21 hingga 26 Mei, Terbuka Singapura (28 Mei hingga 2 Jun) dan Terbuka Indonesia (4 hingga 9 Jun).

Rexy juga menyatakan bahawa barisan kejurulatihan mahu mengambil pendekatan berhati-hati dalam berkongsi perkembangan terkini persiapan pemain negara ke Olimpik bagi mengelak daripada diketahui pihak lawan.

“Kita sebelum ini terlalu baik, kadang-kadang pemain pun terlalu baik dengan pihak lawan. Waktu temu bual kita kongsikan semua perkara sekali gus mendedahkan kekuatan dan kelemahan pemain kita kepada umum.

“Jadi, kita perlu lebih berhati-hati selepas ini apatah lagi ini adalah tahun yang penting (Olimpik). Ada anda dengar China bercakap menghenai Chen Yu Fei (perseorangan wanita), ada?,” katanya.