KETABAHAN dan sifat sabar boleh menjadi magis dan membawa kegembiraan yang tidak diduga.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, sifat itu penting dalam mencapai sesuatu matlamat dan ianya terbukti sebagaimana diraih Chen Tang Jie-Toh Ee Wei di Kejohanan Dunia di Paris.

“Kadang-kadang, ketabahan anda akan membuka pintu kejayaan baharu, dan kejayaan itu boleh hadir hanya dalam tempoh empat bulan,” tegas Hannah Yeoh ketika menyambut kepulangan wira negara, Tang Jie-Ee Wei dan Pearly Tan-M Thinaah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Beliau berkata, kemenangan di Paris itu membuktikan kesabaran dan kecekalan mampu mengubah nasib atlet, walaupun sebelum ini mereka pernah berpisah, April lalu.

Juara dan naib juara dunia kembali ke tanahair, pagi tadi (Selasa).

“Jangan cepat putus asa, kerana hari ini seluruh negara menyaksikan bagaimana usaha tanpa henti akhirnya membuahkan kejayaan terbesar dalam karier mereka,” katanya, yang menekankan pencapaian Tang Jie-Ee Wei menjadi bukti pelaburan kerajaan melalui program Road to Gold memberi hasil dengan melahirkan juara bertaraf dunia.

“They must walk like giants now because they are world champions, dan keyakinan itu mesti dibawa setiap kali turun ke gelanggang,” jelasnya.

Hannah dalam masa sama menyanjung perjuangan Pearly-Thinaah yang membawa pulang pingat perak, sambil menyifatkan mereka telah membuktikan semangat juang luar biasa.

“Badminton adalah sukan perpaduan Malaysia, dan kerajaan akan terus memastikan atlet mempunyai fasiliti, jurulatih dan sokongan terbaik supaya mereka kekal tabah memburu kejayaan,” tegasnya.