Persiapan akhir pasangan beregu campuran negara, Chen Tang Jie–Toh Ee Wei, bagi menghadapi Terbuka Malaysia kali ini dilihat berada pada tahap terbaik apabila mereka berpeluang menjalani sesi ‘sparring’ bersama pasangan beregu campuran senegara yang turut layak beraksi dalam kejohanan tersebut.

Situasi itu memberi kelebihan kepada Tang Jie–Ee Wei untuk meningkatkan tahap permainan melalui persaingan sihat serta intensiti latihan yang lebih tinggi menjelang kejohanan di laman sendiri, sekali gus membantu mereka membuat persiapan lebih menyeluruh.

“Ini merupakan satu petanda positif untuk acara beregu campuran Malaysia kerana sebelum ini tidak ramai yang memberi perhatian kepada acara ini. Perkembangan ini amat baik, terutamanya untuk pemain-pemain muda sebagai sumber motivasi dan inspirasi,” kata Ee Wei.

Pada sesi menguji gelanggang di Axiata Arena hari ini, pasangan beregu campuran negara yang dilihat saling membantu dalam sesi ‘sparring’ bersama Tang Jie–Ee Wei termasuk Goh Soon Huat-Shevon Lai, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin, Jimmy Wong-Lai Pei Jing serta Wong Tien Ci-Lim Chiew Sien.

Pada kempen kali ini, Tang Jie-Ee Wei akan membuka saingan menentang pasangan Indonesia Jafar Hidayatullah-Felisha Alberta Nathaniel Pasaribu.

“Menentang pasangan Indonesia sememangnya tidak mudah, tetapi kami hanya akan menumpukan kepada perkara yang boleh kami kawal dan melakukan yang terbaik dalam perlawanan ini,” katanya.

Pada edisi lalu, gandingan Tang Jie-Ee Wei hanya berjaya melangkah ke separuh akhir, namun persiapan rapi kali ini memberi keyakinan bahawa mereka berpeluang untuk melangkah lebih jauh dalam kejohanan Terbuka Malaysia kali ini.