BINTANG bola sepak dunia, Cristiano Ronaldo membuat rangkuman tentang musim hebatnya di Liga Pro Arab Saudi sejak berhijrah ke kelab Al Nassr yang disifatkannya sebagai satu musim penuh mencabar yang dipenuhi detik-detik yang indah.

Detik indah pertama yang dikongsinya adalah kejayaannya membawa Al Nassr menjuarai Piala Juara-Juara Kelab Arab buat kali pertama apabila dua jaringannya berjaya menewaskan seteru utama, Al Hilal 2-1 dalam aksi final di Taif pada Ogos 2023.

Dia juga membuktikan dirinya masih berbisa sebagai penyerang meskipun sudah berusia 37 tahun dengan memecah rekod jaringan kelab dengan 50 gol dari 51 perlawanan dalam semua kejohanan yang disertai Al Nassr musim ini.

Apa yang menarik, Ronaldo memberikan kredit kejayaan ini kepada semua yang terlibat dalam kelab sekali gus menggambarkan sikapnya yang tidak mementingkan diri sendiri.

Selain itu, Ronaldo juga memberikan kredit yang sama kepada semua pihak yang membantunya meraih anugerah Kasut Emas sebagai penjaring terbanyak Liga Arab Saudi dengan 35 gol dari 34 perlawanan semusim.

Tidak semuanya manis dalam kariernya di Al Nassr apabila dia berkongsi kegagalan mereka dalam dua penentuan penalti iaitu ketika aksi Liga Juara-Juara AFC (ACL) di tangan juara, Al Ain dari Emiriah Arab Bersatu dan ketika Piala Raja Arab Saudi apabila tewas penalti kepada Al Hilal.

Kasut Emas menjadi milik Ronaldo musim ini.

Meskipun menamatkan musim tanpa sebarang trofi domestik, dia masih menganggap ianya satu musim yang cukup hebat dan mengucapkan terima kasih kepada semua penyokong yang sentiasa menyayangi dan menyokong kariernya di Al Nassr.

Kini fokusnya akan diarahkan kepada Kejohanan Eropah apabila dia akan membantu Portugal untuk sekali lagi bergelar juara selepas edisi 2016 dan dia berjanji akan memberikan segalanya buat negara kelahirannya itu.