PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan senarai lengkap 37 pemain muda bagi menyertai latihan skuad  kebangsaan Bawah 16  Tahun (B-16) yang rata-rata dibarisi pelatih Akademi Mokhtar Dahari (AMD).

Turut dipanggil menyertai latihan persediaan menjelang aksi Piala AFF dan Kelayakan Piala Asia (B-16) adalah tujuh pemain dari akademi Johor Darul Takzim (JDT), seorang wakil dari Global Talent, Red Bulls New York dan pasukan PLD.

Manakala,  senarai menunggu pula membariskan enam pemain kesemuanya dari pasukan AMD B-16.

 

Sebahagian daripada pemain-pemain Bawah 16 Tahun AMD.

Ketua jurulatih pasukan kebangsaan B-16, Osmera Omaro mengakui pandemik Covid-19 jelas memberi kesan kepada anak buahnya namun menegaskan standard pasukan muda negara boleh dikatakan agak cemerlang.

“Pandemik Covid-19 memang memberi masalah besar kepada kami, tetapi kita mempunyai pasukan pemain yang menarik.

“Saya bukan hendak berlagak tetapi kita memang pasukan yang baik dan boleh memberi saingan.

“Kita akan mengadakan enam perlawanan berkualiti di  Eropah dan berharap ianya akan membantu pasukan.

“Pemain akan menjadi semakin matang apabila usia mereka meningkat, sebenarnya pengalaman juga mematangkan mereka,” ujarnya pada sidang media  pengumuman pasukan dan jurulatih pada Khamis.

Sementara itu, pengurus pasukan B-16, Christopher Raj mengakui skuad ini bukan sekadar pelengkap, sebaliknya telah bersedia untuk bersaing dan meletakkan sasaran.

 

Christopher Raj

“Saingan Piala AFF B-16 kita mensasarkan separuh akhir, selepas itu baru kita akan fikir tentang penanda aras seterusnya.

“Untuk Kelayakan AFC, kita kena sekurang-kurangnya menamatkan saingan sebagai naib juara,” ujar Cristopher.

Pasukan kebangsaan B-16 akan mengadakan dua perlawanan persahabatan menentang Singapura sebelum menghadapi saingan Piala AFF bawah-16 di Bogor  Ogos ini, selain Kelayakan AFC B-16 Manama , Bahrain pada 2023.