KELAB América de Cali mengesahkan bahawa pemain mereka, Rodrigo Holgado, dikenakan hukuman penggantungan selama 12 bulan oleh FIFA susulan isu berkaitan peraturan tatatertib. Hukuman itu bermula serta-merta selepas notifikasi rasmi dikeluarkan.
Menerusi kenyataan kelab, Holgado dilarang menyertai sebarang aktiviti yang ada kaitan dengan bola sepak sepanjang tempoh penggantungan.
Bagaimanapun, baik Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mahupun pemain itu sendiri akan memfailkan rayuan berdasarkan saluran yang diperuntukkan dalam Kod Tatatertib FIFA, dengan harapan keputusan tersebut dapat disemak semula oleh badan berkuasa yang lebih tinggi.
América de Cali turut menegaskan bahawa jabatan perundangan mereka akan sentiasa berhubung rapat dengan FAM bagi mengikuti perkembangan kes ini dari semasa ke semasa.
Penggantungan terhadap Holgado pastinya memberi kesan besar kepada kariernya, selain menimbulkan persoalan mengenai hala tuju masa depannya bersama kelab serta penglibatannya di pentas bola sepak antarabangsa.