SEBALIK gemuruh sorakan dan sokongan yang mewarnai dunia bola sepak Malaysia, wujud sisi gelap yang semakin membimbangkan iaitu buli siber terhadap pemain bola sepak dan keluarga mereka.

Kritikan pedas yang bertukar menjadi ugutan dan kecaman melampau di media sosial kini menjadi cabaran besar yang menjejaskan kesejahteraan mental pemain.

Dalam era digital yang kian pesat, pemain bola sepak sering menjadi mangsa komen kasar, fitnah, dan ugutan, terutamanya ketika mereka atau pasukan gagal mencapai kemenangan dalam perlawanan penting.

Lebih menyedihkan, ahli keluarga yang tidak terlibat secara langsung juga menjadi sasaran kecaman tanpa sebab yang munasabah. Situasi ini menekan emosi pemain sehingga ada yang terpaksa menutup akaun media sosial bagi melindungi diri daripada serangan tidak terkawal.

Antara ugutan simbah asid terhadap penjaga gol negara Haziq Nadzli.

Menurut laporan “FIFPRO Workplace Safety Report” (2023), 90 peratus pemain bola sepak yang bertanding dalam kejohanan utama mengalami kesan negatif akibat ancaman siber, termasuk ugutan fizikal dan serangan terhadap keluarga mereka.

FIFPRO menegaskan bahawa masalah ini bukan sekadar komen negatif, tetapi turut melibatkan ancaman keselamatan yang serius.

Persekutuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) turut menyuarakan kebimbangan terhadap budaya buli siber ini.

Dalam satu kenyataan, PFAM menyeru agar peminat bola sepak lebih bertanggungjawab dalam memberikan sokongan.

“Kritikan membina dan sokongan positif lebih bermanfaat berbanding penghinaan atau ugutan. Ingatlah, pemain juga manusia yang punya perasaan,” kata kenyataan itu.

Kesedaran peminat untuk mengawal tutur kata, baik di media sosial mahupun di stadium, amat penting dalam mewujudkan persekitaran bola sepak yang lebih sihat.

Dengan usaha kolektif, budaya buli siber yang semakin menular ini dapat dikurangkan, sekali gus mengembalikan semangat kesukanan sebenar yang menghormati semua pihak dalam arena bola sepak.