PEMANGKU Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail (TMJ), terus membuktikan komitmen dalam merevolusikan skuad kebangsaan Harimau Malaya apabila berjaya mendapatkan tiga bentuk sokongan utama daripada Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa), Gianni Infantino.
Dalam pertemuan yang berlangsung pada Selasa, Infantino telah diberi taklimat tentang projek pembangunan skuad kebangsaan yang diterajui oleh TMJ dan turut mendapat sokongan penuh daripada kerajaan Malaysia.
Menurut kenyataan rasmi Tunku Ismail, Presiden Fifa itu bukan sahaja melihat inisiatif tersebut sebagai langkah positif tetapi juga bersetuju memberikan bantuan signifikan kepada Malaysia.
“Infantino turut menzahirkan kepercayaan terhadap inisiatif nasional yang dikemudi oleh DYAM Pemangku Sultan Johor dan bersetuju untuk memberikan sokongan kepada Malaysia dari segi penyelidikan, infrastruktur, dan pembangunan,” menurut kenyataan itu.
Sokongan ini hadir tepat pada masanya ketika Harimau Malaya sedang mempersiapkan diri untuk aksi kelayakan Piala Asia 2027 yang bakal berlangsung pada Mac tahun depan.
Sebelum ini, Tunku Ismail juga telah mengumumkan rancangan bertemu wakil Fifa untuk mendapatkan data pemain Malaysia yang beraksi di luar negara sebagai sebahagian daripada strategi pembangunan skuad kebangsaan.
Langkah Tunku Ismail yang sentiasa berpandangan jauh ini terus memberi harapan besar kepada masa depan bola sepak Malaysia.
Dengan sokongan Fifa dalam aspek penyelidikan dan pembangunan, projek nasional yang diketuai baginda dijangka membuka lembaran baharu untuk Harimau Malaya dan melonjakkan nama Malaysia di pentas bola sepak antarabangsa.