KELAB Liga A1 Semi Pro, PIB Shah Alam FC kini kembali menjadi perhatian selepas dilaporkan menghadapi krisis kewangan yang serius.
Masalah ini menyebabkan tunggakan gaji pemain, jurulatih, dan staf sokongan sehingga berbulan-bulan lamanya, mencetuskan ketidakpuasan hati dalam kalangan mereka.
Pada awal musim, kelab ini mencatat prestasi yang cukup membanggakan apabila berjaya menduduki tangga ketiga liga.
Menurut sumber, masalah mula timbul apabila pembayaran gaji hanya dilakukan sehingga bulan Mei dan Jun 2024.
“Memasuki bulan Julai, pembayaran gaji mulalah tergendala, dan situasi menjadi semakin kritikal apabila tunggakan ini berlanjutan sehingga enam bulan.
“Pemain dan staf dilaporkan telah mencuba pelbagai cara untuk mendapatkan penjelasan daripada pihak pengurusan, termasuk menghubungi pemilik kelab secara langsung.
“Malangnya, usaha tersebut menemui jalan buntu apabila pemilik dikatakan menghilangkan diri dan hanya memberikan jawapan melalui wakil-wakil tertentu,” katanya kepada FLASH SUKAN.

PIB Shah Alam berada di kedudukan ke-11 Liga A Semi Pro.
Mengikut rekod, PIB Shah Alam ketika ini berada di kedudukan ke-11 daripada 15 pasukan dengan mengumpul 25 mata selepas mengharungi 21 perlawanan.
Ujar sumber itu lagi, dalam satu pertemuan antara pemilik kelab dan pemain, janji telah dibuat untuk menyelesaikan tunggakan gaji dalam masa dua bulan.
Namun, sebagai langkah sementara, pemain hanya menerima bayaran RM500 seorang, yang dianggap tidak memadai.
“Janji tersebut akhirnya tidak ditepati, dan pemilik kembali menyepi, meninggalkan pemain serta staf tanpa sebarang kepastian.
“Masalah kewangan yang berpanjangan memberikan kesan besar terhadap motivasi pemain. Prestasi pasukan di atas padang jelas terjejas, apabila mereka tewas beberapa perlawanan penting,” katanya kesal.

Aksi perlawanan antara PIB Shah Alam menentang Manjung City di Stadium USIM, Nilai, bulan lepas.
Dalam satu perlawanan menentang Manjung City, pasukan hanya mampu menurunkan sembilan pemain, sekali gus menjadi bahan jenaka di media sosial.
Puncak kepada krisis ini berlaku dalam perlawanan baru-baru ini menentang Armed Forces FC pada 7 Disember lepas.
“Pada masa itu juga, timbul cerita bahawa pihak kelab enggan membenarkan wartawan membuat liputan mengenai isu yang berlaku, sekali gus menambahkan lagi tanda tanya dan spekulasi dalam kalangan peminat dan pemerhati bola sepak tempatan.
“Pasukan mengalami kekalahan besar, 8-0, tanpa kehadiran jurulatih di bangku simpanan. Situasi menjadi lebih parah apabila seorang penjaga gol terpaksa beraksi sebagai penyerang bagi mencukupkan bilangan pemain,” ujarnya.
Sumber tersebut menyatakan bahawa masih belum pasti sama ada pemain akan beraksi atau tidak dalam perlawanan bertemu Machan FC di Stadium USIM, Nilai pada Jumaat.
“Sekiranya pihak pengurusan membayar gaji dan mengadakan perbincangan, perlawanan tersebut mungkin dapat diteruskan seperti biasa.
“Namun, memandangkan pemain dan pihak pengurusan sedang menghadapi masalah kewangan yang serius, terdapat ura-ura bahawa pemain sedang mempertimbangkan untuk tidak bermain perlawanan ini sebagai tanda protes terhadap kelewatan pembayaran gaji.
“Kita bimbang, kelab berisiko dikenakan denda atau pemotongan mata oleh badan pengelola liga,” keluhnya.

Ada lagi pemain PIB Shah Alam yang bersemangat untuk beraksi dengan tetap turun padang menjalani latihan.
Sumber juga khuatir apabila semua masalah gaji bermula, barulah sedar tentang platform jual permainan dan perkara-perkara lain.
“Bila pemain mula tidak dibayar gaji, pelbagai masalah timbul dan mereka mula menunjukkan tingkah laku yang tidak baik. Itu kami bimbangkan,” katanya.
Sementara itu, cubaan FLASH SUKAN untuk menghubungi pemilik kelab, Mohammad Anuar Yusof bagi mendapatkan maklum balas gagal.