PASUKAN Bunga Raya FC meluahkan kekecewaan selepas gagal tersenarai sebagai salah satu daripada 12 kelab yang akan bersaing dalam Liga Super Malaysia 2026/2027, namun menegaskan komitmen mereka untuk membangunkan bola sepak negara tidak akan terhenti.
Menerusi satu kenyataan rasmi, pengurusan kelab memaklumkan keputusan yang diumumkan Malaysian Football League (MFL) itu diterima dengan hati yang berat selepas berbulan-bulan melakukan pelbagai persiapan bagi memastikan kelab berada dalam keadaan terbaik untuk bersaing di pentas tertinggi bola sepak tanah air.
Menurut kelab itu, usaha mendapatkan sokongan kewangan turut membuahkan hasil apabila mereka berjaya memperoleh komitmen penajaan hampir RM4 juta, tertakluk kepada penyertaan dalam Liga Super musim 2026/2027.
Pasukan Liga A1 itu menjelaskan nilai penajaan itu berpotensi meningkat kepada beberapa juta ringgit lagi sekiranya penyertaan mereka dalam Liga Super menjadi kenyataan, hasil rundingan bersama beberapa syarikat korporat dan rakan strategik.
Kelab itu turut menegaskan perancangan mereka bukan hanya tertumpu kepada pasukan utama, sebaliknya merangkumi pembangunan akar umbi menerusi penubuhan skuad Bawah 17, Bawah 18 dan Bawah 20 bagi menyediakan laluan jelas kepada bakat muda ke arena bola sepak profesional.
Bagaimanapun, sebahagian besar perancangan tersebut kini terpaksa ditangguhkan susulan kegagalan menyertai Liga Super.
Menurut kenyataan itu, situasi berkenaan bukan sahaja menjejaskan pembangunan pemain muda, malah memberi kesan kepada peluang kira-kira 35 hingga 40 pemain serta barisan kejurulatihan yang diharapkan dapat beraksi di saingan tertinggi negara.
Dalam masa sama, pengurusan kelab masih berharap terdapat ruang untuk pertimbangan semula sebelum bermulanya Liga Super 2026/2027, khususnya jika penyertaan kelab dinilai berdasarkan kesiapsiagaan dari aspek kewangan, organisasi dan pembangunan bola sepak.
Bunga Raya FC menegaskan mereka sentiasa bersedia untuk memenuhi segala syarat yang ditetapkan sekiranya diberi peluang menyertai Liga Super dan berjanji akan terus bekerja keras bagi membina sebuah kelab yang mampan serta mampu menyumbang kepada pembangunan bola sepak Malaysia.
“Perjuangan kami bukan sekadar untuk mendapatkan tempat dalam Liga Super, tetapi bagi membuka lebih banyak peluang kepada pemain tempatan, jurulatih dan bakat muda untuk berkembang dalam ekosistem bola sepak negara.
“Kami percaya setiap ujian mempunyai hikmahnya dan akan terus berusaha sehingga impian ini menjadi kenyataan,” menurut kenyataan itu.