TERENGGANU FC menafikan hajat Kuala Lumpur City FC untuk mengutip tiga mata penuh apabila bangkit dari ketinggalan dua gol pada babak pertama untuk mengikat kedudukan 3-3 dalam aksi Liga Super di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.
Keadaan padang yang basah akibat hujan lebat melanda ibu kota pada sebelah petang tidak menjejaskan aksi perlawanan dengan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan yang menghiburkan hampir 1,500 penyokong yang hadir.
KL City kembali menerima khidmat tiga pemain utama yang mengalami penggantungan sebelum ini dan dilihat lebih stabil dan yakin dalam menguasai bola terutama di bahagian tengah.
Terengganu FC juga turun dengan semangat yang tinggi selepas berjaya mencatat kemenangan sebelum ini dan kehadiran semula beberapa pemain utama menambahkan lagi sengat di bahagian serangan.
Hasilnya Omid Nazari berjaya memecah kebuntuan apabila sepakan dari luar petak penalti berjaya mengelirukan Kevin Ray Mendoza di gawang KL City untuk gol pertama pada minit ke-29.
KL City hanya memerlukan enam minit untuk menyamakan kedudukan hasil set piece sepakan sudut yang menarik dari Paulo Josue yang mencemaskan Suhaimi Hussin sebelum Giancarlo Gallifuoco menolak bola ke dalam gawang.
Berselang tujuh minit, giliran Paulo Josue pula mencipta nama sebagai penjaring untuk gol kedua sebelum Romel Morales meletakkan KL City selesa pada tambahan masa untuk mengakhiri babak pertama dengan kedudukan 3-1.
Anak-anak buah Tomislav Steinbruckner tidak berputus asa dan memulakan babak kedua dengan mentaliti menyerang dan Norhakim Hassan berjaya menjaringkan gol debutnya sejak kembali semula ke Terengganu untuk merapatkan kedudukan.
Ivan Mamut melengkapkan kebangkitan cemerlang Terengganu dengan gol ketiga ketika perlawanan memasuki minit ke-60 sekaligus memadam kelebihan dua gol milik KL City pada babak pertama.
LIGA SUPER 2023
FT: Kuala Lumpur City FC 3-3 Terengganu FC
⚽ Giancarlo Gallifuoco 35', Paulo Josue 42', Romel Morales 45'+1
⚽ Omid Nazari 29', Norhakim Hassan 50', Ivan Mamut 60#LigaSuper2023#sampaimatikualalumpur#petehganupeteh pic.twitter.com/RHaoue01xa— Flash Sukan (@FlashSukan) July 7, 2023
Beberapa pertukaran dilakukan kedua-dua pengendali bagi mencari gol kemenangan namun tidak ada tambahan jaringan dapat dilakukan untuk keputusan akhir terikat 3-3 untuk satu mata.