WARTAWAN penyiasatan bola sepak antarabangsa, Romain Molina sekali lagi mencetuskan perhatian apabila memberi bayangan bakal mendedahkan satu lagi isu yang dikaitkan dengan bola sepak Indonesia.
Menerusi satu hantaran di platform X, Molina memberi petunjuk bahawa negara Asia Tenggara itu bakal menjadi fokus pendedahan terbaharunya, sekali gus mencetuskan pelbagai spekulasi dalam kalangan peminat bola sepak.
Perkongsian tersebut pantas menarik perhatian penyokong Indonesia yang membanjiri ruangan komen bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai dakwaan berkenaan.
Setakat ini, Molina bagaimanapun tidak mendedahkan sebarang butiran berkaitan isu yang dimaksudkan, menyebabkan pelbagai persoalan terus timbul mengenai perkara sebenar yang bakal didedahkan.
Sebelum ini, wartawan dari Perancis itu mencuri perhatian selepas mengemukakan beberapa dakwaan berhubung isu pentadbiran dan urusan bola sepak antarabangsa, termasuk membabitkan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) serta Persatuan Bolasepak Argentina (AFA).
Molina sememangnya dikenali menerusi laporan penyiasatan yang sering membongkar pelbagai isu sensitif dalam dunia bola sepak, termasuk dakwaan salah laku pentadbiran, rasuah dan penyelewengan di beberapa negara.
Sehingga kini, belum ada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mahupun Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) berhubung bayangan yang dikongsikan Molina itu.
Orang ramai kini menantikan perkembangan lanjut bagi mengetahui sama ada pendedahan tersebut benar-benar melibatkan bola sepak Indonesia atau sebaliknya.
