PASUKAN Penang FC terus memperkukuhkan jentera serangan mereka menjelang saingan Liga Malaysia 2026/2027 apabila mengesahkan kehadiran penyerang muda kebangsaan, Muhammad Haqimi Azim Rosli secara pinjaman daripada Johor Darul Ta’zim (JDT).

Pemain berusia 23 tahun itu akan menyarung jersi Harimau Kumbang sepanjang musim ini, sekali gus menjadi antara muka baharu yang diharapkan mampu memperkasakan bahagian serangan pasukan.

Pengumuman perpindahan itu dibuat Penang menerusi kenyataan rasmi yang dimuat naik di semua platform media sosial kelab.

“Haqimi Azim menyertai Penang FC secara pinjaman daripada Johor Darul Ta’zim selama satu musim bagi menghadapi saingan Liga Malaysia 2026/2027,” menurut kenyataan tersebut.

Kehadiran Haqimi dijangka mengisi kekosongan di posisi penyerang selepas Penang tidak menyambung khidmat Alif Ikmalrizal Anuar yang dilaporkan bakal menyertai Melaka FC.

Musim lalu menyaksikan Haqimi beraksi bersama dua kelab apabila memulakan kempen bersama Kuala Lumpur City FC sebelum berhijrah ke Terengganu FC pada jendela perpindahan kedua bagi mendapatkan lebih banyak minit permainan.

Pengalaman beraksi bersama beberapa pasukan Liga Super dijangka memberi kelebihan kepada Haqimi untuk segera menyesuaikan diri dengan corak permainan Penang.

Haqimi turut menjadi antara pemain muda tempatan yang sering mendapat perhatian hasil aksi konsisten di pentas domestik selain pernah dipanggil menyertai skuad kebangsaan.

Dengan kehadirannya, Penang kini menambah seorang lagi pemain dalam senarai rekrut baharu selepas membawa masuk Fazly Mazlan, Aliff Haiqal Lau, Danial Haqim Draman, Khala’if Naskam, M. Rakesh dan Ad’dha Nazman sebagai persiapan menghadapi musim baharu.