SKUAD B-23 negara kembali menghidupkan peluang untuk layak ke Piala Asia B-23 2026 apabila membelasah Mongolia 7-0 dalam aksi Kumpulan F di Stadium Thammasat, Bangkok, sebentar tadi. Kemenangan bergaya ini hadir selepas kekalahan kepada Lubnan dalam aksi pembukaan, sekali gus menjadi penawar kekecewaan buat anak buah Nafuzi Zain.

Malaysia bermula dengan sedikit kebimbangan apabila jeneral tengah, Haiqal Haqeemi terpaksa dikeluarkan seawal minit ketujuh akibat kecederaan lutut. Namun, rentak permainan segera kembali seimbang sebelum Aliff Izwan meledak gol pembukaan pada minit ke-12 selepas situasi kelam-kabut di kotak penalti Mongolia.

Tidak lama kemudian, pertahanan kental Aysar Hadi menambah jaringan kedua menerusi tandukan deras pada minit ke-14, sebelum giliran Fergus Tierney pula menanduk masuk gol ketiga pada penghujung babak pertama untuk memberikan Malaysia kelebihan selesa.

Babak kedua menyaksikan Tierney benar-benar menjadi mimpi ngeri Mongolia apabila dia melengkapkan hatrik pantas dengan dua gol berturut-turut pada minit ke-48 dan 49, menjadikan kedudukan 5-0. Aliff Izwan yang beraksi cemerlang turut menambah koleksi peribadi dengan gol kedua dirinya pada minit ke-60.

Ketajaman jentera serangan Malaysia tidak terhenti di situ apabila pemain gantian, Ziad El Basheer, menutup pesta jaringan dengan gol ketujuh pada minit ke-72, sekali gus memastikan kemenangan mutlak tanpa belas kasihan.

Keputusan 7-0 ini bukan sahaja menaikkan semula moral pemain, malah memberikan keyakinan tinggi menjelang pertemuan getir menentang tuan rumah, Thailand pada 9 September, yang bakal menentukan nasib skuad muda negara dalam pemburuan tiket ke Piala Asia B-23.