PENGURUS FIM MiniGP Malaysia, Zulfahmi Khairuddin, meluahkan keyakinannya terhadap potensi pelumba muda Malaysia, Hakim Danish dan Qabil Irfan, dalam menghadapi musim perlumbaan 2025.

Zulfahmi berkongsi perkembangan terkini dan perancangan mereka bagi tahun depan semasa sesi temubual di M Resort Hotel Kuala Lumpur pada Khamis.

Zulfahmi mengimbas kejayaan cemerlang Hakim Danish dalam musim 2024, di mana dia berjaya meraih empat podium dalam Kejohanan Red Bull Kids Cup dan menyasarkan tempat keenam secara keseluruhan dalam kejohanan tersebut.

“Untuk Hakim, dia akan terus beraksi dalam Red Bull Kids Cup untuk tahun ketiga, sesuatu yang jarang dilakukan oleh pelumba dari Malaysia.

“Kami berharap keputusan tahun untuk 2025 akan lebih baik berbanding untuknya daripada tahun 2024,” katanya.

 

Zulfahmi juga menekankan bahawa 2024 adalah tahun pertama mereka meneroka kategori baru dalam Kejohanan Superbike Sepanyol (ESBK) di kategori Moto4.

“Tahun lepas adalah tahun yang pertama kita cuba kategori baharu, iaitu ESBK Sepanyol superbike kategori moto4. Keputusan yang sangat membanggakan banyak pihak dimana dia dapat tujuh podium dan kekal konsisten di depan.

“Ini juga memudahkan saya unuk berurusan dengan pasukan-pasukan yang hebat disana kerana sedikit sebanyak apabila pelimba kita menunjukkan prestasi yang bagus dan bayaran yuran untuk penyertaan jauh lebih murah,” katanya lagi.

Menghadapi 2025, Zulfahmi mengumumkan bahawa Hakim Danish akan meneruskan perjuangannya dalam Red Bull Kids Cup, di mana Hakim mendapat jemputan untuk tahun ketiga berturut-turut, sesuatu yang jarang berlaku bagi pelumba dari Malaysia.

“Hakim telah dijemput untuk tahun ketiga dan dia adalah satu-satunya pelumba Malaysia yang kami hantar ke Red Bull Kids Cup tahun lalu, kerana tiada lagi pelumba Malaysia yang kita hantar untuk pegi ke pemilihan tahun lepas.

“Sebab saya rasa kita belum ada lagi pelumba yang layak dan saya bangga kerana Hakim salah seorang yang akan mewakili Malaysia dan kita harapkan keputusan yang jauh lebih baik daripada tahun 2024,” ujar Zulfahmi.

Bagi Qabil, Zulfahmi turut memperkenalkan kategori baru, ESBK Talent dengan menggunakan generator NSF.

“Pada usia 13 tahun, Qabil sudah tidak layak memasuki Junior GP kerana usia, tetapi dengan keputusan ini, kami berharap Qabil masih dapat bersaing di Eropah dalam tahun 2025 ini,” jelasnya.

Ketika ditanya mengenai sasaran untuk kedua-dua pelumba, Zulfahmi begitu yakin dengan kebolehan kedua-dua pelumba ini.

Zulfahmi juga menggariskan beberapa cabaran yang perlu dihadapi, terutama dalam aspek pengurusan mental Hakim Danish yang semakin matang.

“Saya pasti mereka akan berusaha untuk meraih podium, tetapi sebagai pengurus, saya berharap mereka dapat mencapai kejayaan yang lebih besar.

“Terutama sekali untuk Hakim Danish yang kini menghadapi cabaran kecederaan pada jarinya,.

“Kami akan terus membantu dia untuk mengekalkan konsistensi, terutamanya dalam menguruskan tekanan semasa perlumbaan,” tambah Zulfahmi.

Zulfahmi Khairuddin (kiri), Hakim Danish (tengah) dan Qabil Irfan (kanan) dalam sidang media semalam.

Dalam perancangan 2025, Zulfahmi berhasrat untuk menghantar Hakim Danish ke Eropah untuk menjadi lebih berdikari.

“Danish akan tinggal di Eropah pada tahun depan dan dia akan lebih berdikari dan kami berharap ia akan memberi kesan positif pada prestasinya,” tambahnya lagi.

Dengan sokongan berterusan dan strategi yang matang, FIM MiniGP Malaysia sedang bersiap sedia untuk menghadapi cabaran besar dalam musim mendatang.