HANYA 59,000 keping tiket yang akan dijual bagi perlawanan separuh akhir pertama Piala AFF 2022 Mitsubishi Electric di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu.

Menurut Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Noor Azman Rahman, sebanyak 21,000 tempat duduk terpaksa ‘dikosongkan’ kerana dihalang oleh struktur pentas konsert Jay Chou yang sedang dalam proses pemasangan.

“Situasi ini tidak dapat dielakkan FAM dan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) yang telah berusaha sedaya upaya mencari jalan penyelesaian terbaik dalam memastikan aksi skuad Harimau Malaya di sepanjang kempen Piala AFF 2022 ini tetap dapat dilangsungkan di Stadium Nasional Bukit Jalil berbanding jika ia diadakan di stadium lain yang berkapasiti lebih kecil,” katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Sementara itu, FAM memutuskan untuk mengekalkan harga sama seperti perlawanan peringkat kumpulan bagi tiket Separuh Akhir 1.

Tiket bagi aksi separuh akhir pertama itu akan dijual pada harga RM30 (dewasa) dan RM5 (kanak-kanak 6-12 tahun) bagi tempat duduk Terbuka, RM50 bagi tempat duduk Premium dan RM60 bagi tempat duduk Grandstand.

Jelasnya, keputusan itu dibuat secara sebulat suara selepas Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin mempengerusikan mesyuarat khas bersama Ahli-ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM di stadium selepas perlawanan menentang Singapura, malam tadi.

“Ia sebagai tanda penghargaan kepada penyokong Harimau Malaya yang memberi sokongan padu kepada pasukan sepanjang kempen Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 setakat ini.

“Tiket bagi perlawanan separuh akhir pertama itu hanya dijual secara dalam talian di www.tickethotline.com.my bermula jam 3 petang ini. Tiada penjualan di kaunter,” ujarnya lagi.

Skuad Harimau Malaya kemudian akan terbang ke Bangkok pada Ahad bagi menghadapi pula perlawanan separuh akhir kedua menentang Thailand di Stadium Thammasat pada 10 Januari 2023.