CHELSEA mengumumkan perpindahan yang memecahkan rekod perpindahan Britain selepas berjaya mendapatkan tandatangan Morgan Rogers dari Aston Villa dengan nilai £117 juta.
Pemain berusia 23 tahun itu telah bersetuju untuk menandatangani kontrak sehingga 2033 selepas dua tahun setengah di Aston Villa.
“Saya sangat teruja,” kata Rogers
Rogers menyifatkan Chelsea sebagai kelab terbesar di London dan mengakui bahawa The Blues merupakan kelab yang sentiasa dikaguminya sejak zaman kecil.
“Saya sangat teruja dengan projek yang sedang dibina bersama pengurus baharu, barisan pemain yang kami ada serta hala tuju kelab ini.
“Sebab itu saya berada di sini dan saya tidak sabar untuk memulakan perjalanan bersama kelab ini.”
Selain turut menjadi pemain termahal Chelsea selepas Enzo Fernandez, nilai perpindahan Morgan Rogers ini turut memecahkan rekod Britain yang sebelum ini ditakhta Elliot Anderson ke Manchester City dengan nilai £116 juta.
Pemain tengah England itu berjaya menyumbat 14 gol dan 11 bantuan gol dalam 55 penampilan bersama Aston Villa dan membantu pasukannya merangkul trofi Liga Europa musim lepas.
Kehadiran Morgan Rogers menyaksikan beliau menjadi pemain kelima yang ditandatangani Chelsea dalam era baharu di bawah kendalian Xabi Alonso.
Kredit Gambar: Laman Web Rasmi Chelsea FC