Dataran Kemerdekaan di Shah Alam dipilih sebagai lokasi rasmi upacara pembukaan Sukan Malaysia (SUKMA) 2026, manakala majlis penutupan temasya itu akan berlangsung di Aneka Walk, Seksyen 14.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pemilihan kedua-dua lokasi dibuat selepas mengambil kira kesesuaian dari aspek teknikal, logistik dan kedudukannya yang strategik bagi melancarkan perjalanan temasya.
Menurut beliau, majlis pembukaan kali ini akan diadakan dalam skala sederhana dengan memberi tumpuan kepada perarakan kontinjen serta simbolik pelancaran rasmi temasya.
“Kita memilih Dataran Kemerdekaan sebagai lokasi pembukaan. Ia bukan majlis berskala besar, sebaliknya lebih kepada meraikan kehadiran kontinjen dengan sedikit perarakan sebagai tanda bermulanya SUKMA 2026,” katanya semalam.
Mengulas mengenai majlis penutupan, Amirudin berkata Aneka Walk dipilih bagi mewujudkan suasana lebih meriah selain memberikan pengalaman yang bermakna kepada semua atlet, pegawai dan kontinjen yang mengambil bahagian.
Dalam pada itu, beliau yakin segala persiapan menjelang penganjuran temasya sukan dwitahunan itu berada di landasan tepat hasil kerjasama erat antara kerajaan negeri dan pelbagai agensi berkaitan.
SUKMA Selangor 2026 dijadual berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos, sebelum temasya Para SUKMA mengambil alih saingan dari 5 hingga 14 September.
Sebanyak 469 acara daripada 37 jenis sukan akan dipertandingkan pada SUKMA 2026, manakala Para SUKMA membabitkan 316 acara melibatkan 10 jenis sukan.
Temasya edisi kali ini akan menghimpunkan 15 kontinjen termasuk semua negeri di Malaysia serta Brunei yang kembali mengambil bahagian sebagai kontinjen jemputan.