PENGENDALI Manchester United, Ruben Amorim tampil mempertahankan penjaga gol utamanya, Andre Onana, selepas pemain itu sekali lagi melepaskan gol terus daripada sepakan penjuru ketika United tewas 0-2 kepada Wolves di Molineux, pada Jumaat.
Dalam dua minggu berturut-turut, Onana dilihat bergelut apabila gawangnya dibolosi secara terus daripada sepakan penjuru.
Sebelum ini, dia turut melepaskan gol “Olimpico” ketika United tewas 4-3 kepada Tottenham dalam saingan suku akhir Piala Carabao.
Namun, Amorim percaya gol di Molineux itu tidak sepenuhnya salah Onana dan menegaskan bahawa penjaga golnya telah dihalang untuk bertindak balas.
Ketika itu, United masih terikat tanpa jaringan dengan Wolves sebelum Bruno Fernandes dilayangkan kad merah.
Matheus Cunha kemudian memanfaatkan sepakan penjuru untuk membuka jaringan, sebelum Hwang Hee-Chan memastikan kemenangan Wolves dengan gol pada masa kecederaan.
“Saya fikir dia tidak dapat mencapai bola, dia cuba untuk mendapatkan bola itu tetapi beberapa pemain lain langsung tidak memandang ke arah bola.
“Namun, saya tidak mahu terlalu fokus pada perkara itu kerana apa yang positif adalah kami masih mampu memberi tekanan walaupun bermain dengan 10 orang dan itu adalah satu perkara yang baik, tetapi akhirnya kami tetap tewas,” kata Amorim yang dipetik daripada media antarabangsa.
Kekalahan ini menambah derita United yang kini telah tewas empat daripada lima perlawanan terakhir mereka, sekali gus jatuh ke tangga ke-14 Liga Perdana Inggeris.
Manchester United dijadualkan bertemu Newcastle pada hari Selasa, sebelum pertembungan besar menentang Liverpool di Anfield, 6 Januari.
Selepas daripada itu, Manchester United akan berdepan Arsenal dalam pusingan ketiga Piala FA pada 12 Januari.
Dengan tekanan yang semakin meningkat ke atas pasukan, Amorim berharap isu ini tidak terus menjadi penghalang untuk United kembali bangkit dalam baki perlawanan penting musim ini.