Sunderland A.F.C. mencuri tumpuan pada aksi terakhir Premier League musim ini apabila mengejutkan Chelsea FC 2-1 sekali gus mengesahkan tempat ke saingan Eropah musim depan.
Kemenangan bersejarah itu menyaksikan Sunderland muncul pasukan kelima dalam sejarah EPL yang berjaya melayakkan diri ke kejohanan Eropah sebaik sahaja dinaikkan pangkat ke liga utama.
Gol pembukaan hadir menerusi voli menarik Trai Hume pada minit ke-25 sebelum Chelsea terus tertekan apabila pertahanan mereka, Malo Gusto tertampan bola ke gawang sendiri pada separuh masa kedua.
Cole Palmer sempat merapatkan kedudukan buat Chelsea, namun harapan pasukan pelawat untuk bangkit musnah selepas Wesley Fofana dibuang padang.
Keputusan itu membolehkan Sunderland menamatkan musim di tangga ketujuh liga dan mengiringi AFC Bournemouth ke saingan Liga Europa UEFA musim depan selepas Bournemouth sekadar seri 1-1 menentang Nottingham Forest F.C..
Chelsea pula terpaksa menelan kekecewaan besar apabila gagal meraih sebarang slot ke pertandingan Eropah musim hadapan.
Sementara itu, Brighton & Hove Albion F.C. tetap meraih tiket ke UEFA Europa Conference League walaupun tewas 3-0 kepada Manchester United F.C..
United sebelum ini sudah mengesahkan tempat ke Liga Juara-Juara UEFA bersama juara liga Arsenal F.C., Manchester City F.C. dan Aston Villa F.C..
Kapten United, Bruno Fernandes turut mencatat sejarah tersendiri apabila menjaringkan gol selain merekodkan bantuan gol ke-21 musim ini, sekali gus mencipta rekod baharu EPL.
Dalam satu lagi keputusan, Liverpool F.C. memperoleh mata penting untuk layak ke UCL selepas seri 1-1 dengan Brentford F.C..
Pada masa sama, Crystal Palace F.C. masih berpeluang melayakkan diri ke Liga Europa jika berjaya menewaskan Rayo Vallecano pada final Liga Konferens UEFA di Leipzig, Rabu ini.
Sumber Gambar: FB Sunderland AFC