PENGARAH Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann berkata Ng Tze Yong perlu meningkatkan aspek fizikal dan kecergasan kerana dalam perlawanan sebelum ini mampu memberikan saingan meskipun dilanda kecederaan.

Tambahnya, atlet berasal dari Johor itu perlu diberikan masa sekurang-kurangnya beberapa tahun untuk menyaksikan dirinya setanding dengan pemain bertaraf bintang dalam arena badminton dunia.

“Dari segi sains sukan, otot-otot yang perlu diperkuatkan lagi hanya akan dicapai melalui program yang disediakan oleh kita.

“Untuk Tze Yong, jangka masa pendek adalah enam bulan hingga sembilan bulan. Kalau jangkamasa panjang mungkin dua hingga tiga tahunlah, selain peningkatan pengalaman dan kemahiran,” kata bekas jaguh perseorangan negara itu.

Justin Hoh permata sukan badminton masa depan.

Sementara itu, dia menyifatkan Justin Hoh telah mempamerkan komitmen luar biasanya terhadap badminton sejak berusia 12 tahun serta telah disasar untuk dibentuk menjadi pemain yang baik dan berkualiti.

“Saya rasa daripada muda, dia telah menjadi salah satu kita punya sasaran untuk grooming. Saya mengenalinya secara peribadi sejak berusia 12 tahun menerusi beberapa program kami sebelum ini dan sepanjang tahun dia telah menunjukkan konsistensi dalam komitmen semasa latihan, cinta kepada badminton, visi kepada diri sendiri,” ujar Choong Hann kepada media.

Selain Tze Yong dan Justin, dia turut memberikan peluang kepada Muhammad Shaqeem Eiman Shahyar turun ke gelanggang beraksi bersama legenda dalam aksi yang berlangsung di Axiata Arena bagi menyuntik semangat pemain muda itu menyinar pada masa hadapan.