CHEN Tang Jie sudah pulih sepenuhnya dari lecederaan bahu dan bakal beraksi di Terbuka Australia, tengah bulan ini.
Jurulatih beregu campuran negara, Nova Widianto mengesahkan gandingan utama negara, Tang Jie-Toh Ee Wei kini berada pada tahap kecergasan terbaik.
Menurut Nova, Tang Jie-Ee Wei tidak menyertai Terbuka Kumamoto kerana belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan dan atas nasihat doktor, keputusan dibuat untuk mengelak risiko berulang.
Namun, selepas tempoh rehat dan rawatan, Tang Jie kini kembali menjalani latihan penuh dan menunjukkan perkembangan positif dalam semua aspek kecergasan.
“Sekarang semua sudah okay, cuma dia (Tang Jie) ada sedikit rasa tak selesa bila smash sebab lama tak buat pergerakan itu, tapi selain itu semuanya normal,” kata Nova ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM).

Chen Tang Jie mengalami kecederaan bahu.
Beliau menambah, Tang Jie sudah memulakan latihan intensif minggu ini dan hanya memerlukan sedikit masa untuk mendapatkan semula ‘timing’ terbaiknya.
“Kalau dari segi fizikal dia sudah pulih sepenuhnya, hanya timing saja yang belum betul-betul dapat, tapi latihan harian semua berjalan normal,” ujarnya lagi.
Nova juga yakin Tang Jie akan berada pada prestasi optimum menjelang kejohanan di Sydney, sambil berharap tiada lagi gangguan kecederaan pada saat akhir.