KEHADIRAN Iskandar Zulkarnain Zainuddin sebagai ketua jurulatih perseorangan wanita di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Oktober depan, satu keputusan yang baik namun semua pihak diminta untuk tidak mengharapkan kejayaan segera.
Legenda badminton negara, Datuk Rashid Sidek berkata, melatih skuad perseorangan wanita kebangsaan satu “tugas yang besar” dan bukan mudah untuk dilakukan “jurulatih junior”.
Wira Piala Thomas 1992 itu memberitahu, meskipun Iskandar mempunyai rekod cemerlang melatih pemain di luar negara, pengalaman tersebut tidak boleh dijadikan jaminan mutlak untuk membawa perubahan drastik dalam masa yang singkat.

Tidak mudah untuk jurulatih baharu membawa kejayaan segera namun Datuk Rashid Sidek yakin banyak yang Iskandar boleh pelajari.
“Masih terlalu awal lagi,” kata Rashid ketika ditemui, baru-baru ini. “Saya rasa dia (Iskandar) pun masih baru lagi dalam bidang kejurulatihan, baru tiga tahun. Dia perlukan lebih banyak pengalaman lagi.”
Rashid menegaskan bahawa terdapat perbezaan ketara antara melatih pemain lelaki dan wanita, yang menuntut pendekatan dan kaedah penerapan yang berbeza.
“Kadang-kadang kita tak boleh fikir hanya pada satu faktor yang dia dah berjaya naikkan pemain luar negara, maka dia terus boleh bagi komitmen yang bagus. Tak tentu juga,” jelasnya.
Iskandar telahpun disahkan bakal mengikat kontrak dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) selepas Jeffer Rosobon meletak jawatan Februari lalu.
Beliau yang menyertai badminton Ireland sebagai rakan ‘sparring’ pada 2021, dinaik pangkat sebagai jurulatih perseorangan dan berjaya membawa memimpin perseorangan lelaki negara tersebut, Nguyen Nhat dan perseorangan wanita, Rachael Darragh layak ke Olimpik Paris 2024.