PEMAIN tengah baharu Penang FC, Danial Haqim berharap destinasi baharunya ke utara dapat membuka lebih banyak ruang untuknya beraksi selepas berdepan musim 2025-26 yang mencabar.

Pemain berusia 28 tahun itu yang sebelum ini beraksi bersama Kelantan The Real Warriors menyifatkan perjalanan musim lalu nyata bukan mudah dan ingin mencipta peluang baharu di Penang FC bagi memperbaiki prestasi peribadinya dengan lebih cemerlang.

Bagi Danial, sasarannya masih belum tercapai untuk memberi impak ketika bersama kelab-kelab terdahulu yang pernah disertainya selain meletakkan misi untuk membantu Penang FC sebaik mungkin dan mengembangkan lagi kariernya pada musim baharu nanti.

Dia juga mengakui bukan mudah untuk mendapatkan prestasi terbaik selain persaingan yang sengit dalam pasukan dan tetap bersabar untuk terus memberikan terbaik agar sentiasa menjadi pilihan jurulatih selepas ini.

“Harapan saya semestinya nak terus diberikan kepercayaan dan peluang untuk beraksi. Saya percaya setiap pemain kena buktikan kemampuan dalam latihan dahulu.

“Jadi fokus saya sekarang adalah bekerja keras setiap hari, tingkatkan prestasi dan bila peluang diberikan, saya nak memanfaatkan sebaik mungkin untuk bantu pasukan.

“Penang adalah tempat yang sesuai untuk saya terus berkembang sebagai pemain dan saya percaya ini adalah cabaran baru yang boleh membantu saya menjadi pemain yang lebih matang selain ingin menyumbang sesuatu yang positif kepada pasukan dan para penyokong.

“Ini kerana secara peribadi, saya masih belum puas dan musim baharu nak lebih konsisten, mendapatkan lebih banyak gol, dan nak beri seberapa banyak sumbangan yang saya mampu”, jelasnya.

Musim lalu, Danial telah beraksi dalam 24 perlawanan secara keseluruhan dengan hanya 1 gol berjaya diraih, lebih baik berbanding ketika dia di Sabah FC pada 2024-25 apabila hanya melakukan 7 penampilan sahaja.