Malaysian Football League (MFL) mengesahkan saingan Liga Super 2026-2027 akan disertai 12 kelab dengan musim baharu dijadual membuka tirai pada 21 Ogos ini.

Setakat ini, 11 kelab telah mengesahkan penyertaan iaitu juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT), Kuching City FC, Selangor FC, Kuala Lumpur City FC, Terengganu FC, Star City FC, Negeri Sembilan FC, Penang FC, Sabah FC, DPMM FC dan Melaka FC.

Bagaimanapun, satu lagi slot masih menjadi tanda tanya apabila status PDRM FC hanya akan diputuskan selepas badan bebas First Instance Body (FIB) bermesyuarat pada 16 Julai ini.

Sebelum ini, PDRM diberikan lesen berserta sekatan dengan tempoh sehingga 15 Julai untuk mengemukakan maklumat tambahan bagi memenuhi keperluan pelesenan membabitkan aspek kewangan dan infrastruktur.

Keputusan FIB itu kemudiannya akan dinilai Ahli Lembaga Pengarah MFL bagi menentukan sama ada PDRM layak beraksi dalam Liga Super musim depan berdasarkan tahap kesiapsiagaan serta kemampuan kelab menguruskan operasi sepanjang musim.

Sekiranya gagal memenuhi syarat yang ditetapkan, slot berkenaan dijangka diisi Kelantan Red Warrior FC yang dilihat berada dalam kedudukan terbaik selepas melengkapkan semua keperluan pelesenan. Dua lagi kelab Liga A1 Semi-Pro, UM Damansara United FC dan Bunga Raya FC turut memohon penyertaan, manakala Armed Forces FC memilih untuk tidak bertanding.

MFL percaya format 12 pasukan akan membantu mewujudkan saingan yang lebih kompetitif dan mampan kerana hanya kelab yang memenuhi syarat pelesenan, kewangan serta infrastruktur dibenarkan bertanding. Langkah itu juga selari dengan pelaksanaan Financial Fair Play (FFP) yang menekankan pengurusan kewangan lebih berhemah dan kelangsungan operasi kelab.

Musim baharu akan bermula dengan aksi Piala Sultan Haji Ahmad Shah yang turut dikira sebagai perlawanan pertama Liga Super, menyaksikan JDT menentang naib juara liga, Kuching City FC di Stadium Sultan Ibrahim pada 21 Ogos. Liga Super dijadual melabuhkan tirai pada 23 Mei 2027.

Saingan Piala FA pula akan berlangsung dari 1 September 2026 hingga 16 Januari 2027, diikuti Piala Malaysia bermula 22 Januari sebelum final pada 30 Mei 2027. MFL Challenge Cup pula dijadual bermula pada 10 Februari dengan aksi final dua pusingan pada 11 dan 18 April 2027, namun sebarang pindaan terhadap kalendar pertandingan tertakluk kepada keputusan MFL.