IMPIAN Maghribi untuk melangkah lebih jauh terhenti selepas tewas 2-0 di tangan Perancis dalam pertembungan sengit di peringkat suku akhir di Stadium Boston, Amerika Syarikat awal pagi tadi.
Jurulatih Maghribi, Mohamed Ouahbi mengakui bahawa anak buahnya telah berdepan dengan pasukan yang sangat bagus dari segi kualiti teknikal dan keupayaan serangan balas yang menjadi penentu utama perlawanan.
“Perancis adalah pasukan yang sangat baik, mereka telah menjadi finalis dalam dua Piala Dunia terakhir dan mereka adalah pemain yang sanggup berkerja keras,” kata Ouahbi dalam sidang media selepas perlawanan.
Ouahbi turut tegas menyatakan bahawa tiada ruang untuk rasa kesal yang berlebihan dan memesan agar para pemain beliau untuk bangkit semula.
“Kami telah mencuba segala-galanya, namun kita tidak boleh keluar daripada penyingkiran ini hanya dengan mengatakan kami gembira.
“Mereka perlu pulih kerana mereka telah melalui musim yang luar biasa, termasuk AFCON,” tambah Ouahbi.
Jurulatih Singa Atlas itu menzahirkan rasa bangga dengan apa yang mereka telah lakukan sejak Mac kerana tidak sangka pasukannya mampu sampai sejauh ini berdasarkan perlawanan.
Beliau menyatakan fokus kini beralih kepada persiapan bagi menghadapi Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) dan membina pasukan yang lebih mantap untuk misi Piala Dunia 2030.
Dalam pada itu, Ouahbi turut memberikan penghormatan tinggi kepada pasukan Perancis dan pengurus mereka, Didier Deschamps dengan menyifatkan banyak perkara yang boleh dipelajari dalam cara menguruskan ego pemain dan strategi di atas padang.
Meskipun tersingkir, legasi yang ditinggalkan oleh Maghribi dalam edisi kali ini telah menambat hati jutaan peminat di seluruh dunia.
Juga, membuktikan bahawa mereka kini merupakan antara kuasa bola sepak yang kian digeruni di persada antarabangsa.
Kredit Gambar – Charly Triballeau / AFP