PELANTIKAN Ketua Kontinjen (CDM) ke Sukan SEA Thailand hujung tahun ini bukan sekadar memenuhi syarat protokol, sebaliknya perlu berdasarkan kemampuan individu mengemudi kontinjen negara di tiga lokasi serentak, Bangkok, Songkhla dan Chonburi.
Presiden Majlis Olimpik Malaysia (OCM), Tan Sri Norza Zakaria menegaskan, aspek logistik dan pengurusan menjadi keutamaan kali ini, justeru calon CDM dan timbalannya mesti mempunyai pengalaman luas serta kefahaman mendalam tentang operasi temasya pelbagai venue.
“Bukan masa untuk lantik atas dasar nama semata-mata. Cabaran di Thailand berbeza. Kita perlukan seorang CDM dan sekurang-kurangnya dua Timbalan CDM yang benar-benar bersedia dari segi mental dan teknikal,” katanya pada Sambutan Hari Olimpik, semalam.
Jelas Norza, senarai pendek calon telah dibuat membabitkan bekas atlet, pentadbir sukan dan wakil persatuan kebangsaan. Namun, keputusan akhir hanya akan diumumkan selepas perbincangan bersama Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.
Terdahulu, Datuk Nasir Ali pernah menjawat jawatan CDM ke Sukan SEA Kemboja, dibantu oleh dua Timbalan CDM, Datuk Shalin Zulkifli dan Sharon Wee, menunjukkan amalan melantik lebih daripada seorang timbalan sudah menjadi keperluan dan bukan lagi pilihan.
OCM juga mengesahkan pelantikan Yonex sebagai pembekal pakaian rasmi kontinjen kali ini dengan Majlis Sukan Negara (MSN) turut terlibat dalam perbincangan rekaan dan spesifikasi.
“Kita tidak mahu ulang kesilapan rekaan pakaian yang berlaku sebelum Olimpik Paris. Kali ini kita lebih teliti, lebih inklusif,” kata Norza, yang mahu memastikan semua aspek, termasuk imej negara, diberi perhatian menjelang temasya 9 hingga 20 Disember itu.