LEGENDA Manchester United, Ryan Giggs tampil menghangatkan suasana Kuala Lumpur sempena lawatan dua hari menjelang perlawanan bersejarah Maybank Challenge Cup Malaysia 2025, yang bakal menyaksikan Red Devils menentang ASEAN All-Stars pada 28 Mei ini di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Meski sibuk dengan jadual padat sesi bertemu peminat dan media, Giggs tetap membawa aura ‘Class of ‘92’ satu generasi emas yang membentuk DNA kejuaraan kelab gergasi England itu.
Tetapi kali ini, beliau bukan sekadar mewakili memori lalu, sebaliknya menyuntik keyakinan kepada penyokong tentang masa depan kelab di bawah kendalian Ruben Amorim.

Sidang Akhbar eksklusif bersama legenda Manchester United Ryan Giggs, yang akan berada di Kuala Lumpur untuk mempromosikan secara rasmi Piala Cabaran Maybank Malaysia 2025 yang akan datang: Manchester United lwn ASEAN All-Stars.
“Bola sepak ini bergerak mengikut kitaran. Walaupun prestasi kami dalam liga tak begitu baik, kami masih menang trofi Piala FA, Liga Europa. Dan itu penting, sebab kelab seperti United perlu terus menang kejuaraan,” kata Giggs dalam sidang media eksklusif di Crowne Plaza Hotel, Sabtu lalu.
United kini menghuni tangga ke-16 dalam Liga Perdana, namun mencipta kejutan apabila mara ke final Liga Europa setelah mengatasi Lyon 7-6 secara agregat dan membelasah Athletic Club 7-1 di separuh akhir.
Giggs menyifatkan kemenangan dramatik 5-4 ke atas Lyon di Old Trafford sebagai “antara aksi paling menakjubkan pernah saya saksikan.”
“Sebelum ini, kalau kami tersingkir, musim ini akan jadi mimpi ngeri. Tapi sekarang, sekurang-kurangnya ada sesuatu yang boleh diharapkan. Harapnya mereka dapat tamatkan musim ini dengan kejayaan,” ujarnya merujuk pertemuan menentang Tottenham dalam final di Bilbao pada 21 Mei nanti.
Giggs juga memuji karakter beberapa pemain muda yang menunjukkan semangat juang seperti zaman kegemilangannya bersama Beckham, Scholes dan Neville bersaudara.
“Dulu, bukan setakat bakat, tapi kena ada sikap yang betul. Sekarang kita nampak percikan itu pada Garnacho, dan Kobbie Mainoo pula macam dah main sepuluh tahun walaupun masih muda. Itu sangat menggalakkan,” katanya.

Sidang Akhbar eksklusif bersama legenda Manchester United Ryan Giggs, yang akan berada di Kuala Lumpur untuk mempromosikan secara rasmi Piala Cabaran Maybank Malaysia 2025 yang akan datang: Manchester United lwn ASEAN All-Stars.
Namun beliau turut mengakui cabaran besar yang dihadapi Amorim, jurulatih baharu United. “Dia tahu dengan skuad sekarang, tak boleh bersaing sepenuhnya dalam liga dan Eropah. Jadi, jendela perpindahan musim panas nanti amat penting. Harap kelab sokong dia sepenuhnya.”
Lawatan kali ini juga membawa makna besar buat Giggs secara peribadi — bukan sahaja menghidupkan semula hubungan emosional dengan penyokong Malaysia selepas 16 tahun, malah menjadi saksi bagaimana jenama Manchester United kekal relevan merentas benua dan generasi.
“Sambutan di sini sentiasa luar biasa. Ia mengingatkan kita betapa besar ertinya kelab ini kepada ramai orang, dari generasi ke generasi,” katanya menutup bicara, penuh rasa bangga.
Bagi yang masih belum mendapatkan tiket pertembungan bersejarah antara Manchester United dan bintang-bintang terbaik Asia Tenggara,, Flash Sukan menyeru agar segera melayari myticketempire.com/manumy sebelum kehabisan, memandangkan sambutan luar biasa sudah mula dirasai sejak pengumuman perlawanan dibuat.