LEGENDA Manchester United, Ryan Giggs menyifatkan aksi menentang ASEAN All Stars pada 28 Mei ini bukan sekadar perlawanan persahabatan, sebaliknya satu pengalaman tidak ternilai yang bakal terpahat dalam ingatan penyokong setia Red Devils di rantau ini.
Giggs yang hadir ke Kuala Lumpur sempena promosi rasmi Maybank Challenge Cup Malaysia 2025 berkata, perlawanan ini memberi peluang unik kepada penyokong untuk menyaksikan pemain-pemain pujaan mereka beraksi secara langsung satu momen yang jauh lebih bermakna berbanding hanya menonton dari kaca televisyen.
“Saya pernah bermain dalam perlawanan seperti ini, dan saya tahu betapa istimewanya detik ini bukan sahaja buat pemain lawan, tetapi juga penyokong. Melihat pemain kegemaran beraksi di depan mata, mungkin dapat tandatangan atau swafoto bersama mereka, ia adalah memori yang kekal sepanjang hayat,” katanya dalam sidang media eksklusif di Crowne Plaza Hotel, Kuala Lumpur.
Tambahnya lagi, lawatan kelab ke Asia Tenggara bukan sahaja sebagai penghargaan buat penyokong setia, malah menjadi suntikan semangat buat pemain muda United yang akan lebih menyedari betapa besarnya jenama kelab itu di peringkat global.

Sidang Akhbar eksklusif bersama legenda Manchester United Ryan Giggs, yang akan berada di Kuala Lumpur untuk mempromosikan secara rasmi Piala Cabaran Maybank Malaysia 2025 yang akan datang: Manchester United lwn ASEAN All-Stars.
“Kadang-kadang pemain muda ini belum pernah datang ke bahagian dunia ini. Apabila mereka menyaksikan sendiri sambutan luar biasa di Malaysia, mereka akan lebih sedar betapa besar sokongan terhadap Manchester United di seluruh dunia. Ini mungkin memberi dorongan tambahan sebelum musim baharu bermula,” jelasnya.
Aksi pada 28 Mei di Stadium Nasional Bukit Jalil bakal menjadi penampilan semula Manchester United di Malaysia selepas 16 tahun kali terakhir pada tahun 2009. Selain menjadi medan aksi, perlawanan ini juga berperanan sebagai jambatan emosi antara kelab tersohor itu dan jutaan penyokong di Asia Tenggara, khasnya Malaysia.

Sidang Akhbar eksklusif bersama legenda Manchester United Ryan Giggs, yang akan berada di Kuala Lumpur untuk mempromosikan secara rasmi Piala Cabaran Maybank Malaysia 2025 yang akan datang: Manchester United lwn ASEAN All-Stars.
“Pada waktu kelab tidak menjuarai liga atau berada dalam prestasi terbaik, inilah masanya kelab benar-benar perlukan sokongan. Bukan hanya dari penyokong di Manchester, tetapi juga di seluruh dunia. Dan saya yakin penyokong di Malaysia dan Hong Kong tidak akan mengecewakan,” ujar Giggs mengakhiri temubual.
Buat penyokong setia, ini lebih daripada sekadar 90 minit bola sepak ia adalah pertemuan dengan sejarah, emosi dan kenangan yang tidak akan dilupakan.