KETUA Jurulatih Selangor FC,  Tan Cheng Hoe menzahirkan ucapan penghargaan kepada Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah, Sultan Sharafuddin Idris Shah kerana memberi kepercayaan kepadanya menggalas tugas sebagai ketua jurulatih Gergasi Merah sehingga berjaya membawa skuad tersebut mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia meskipun baru membimbing skuad tersebut hanya dalam tempoh beberapa bulan.

Raja Muda Selangor (RMS) bukan sahaja sanggup memberi peluang kepadanya tatkala tiada siapa yang meyakini kebolehannya setelah aksi kurang memberangsangkan skuad kebangsaan dalam aksi Piala AFF yang dibimbingnya pada ketika itu.

“Saya berterima kasih kepada pengurusan pasukan Selangor FC kerana memberi kepercayaan kepada saya untuk menggalas tugas sebagai jurulatih.

“Terima kasih juga kepada Tuanku Raja Muda Selangor kerana tugas saya bukan mudah dan juga sebagai jurulatih memang ada impian untuk dapatkan kejuaraan untuk ke final,” katanya dalam sidang media pra-perlawanan akhir Piala Malaysia di Bilik Media Stadium Nasional Bukit Jalil.

Selain itu, mengenai hasrat pasukan merangkul piala yang sebelum ini dikenali dengan nama Piala HMS Malaya, pengendali berusia 54 tahun itu turut mengharapkan pemain bijak menyerap tekanan hebat yang bakal dirasai di Stadium Nasional Bukit Jalil esok.

Jelasnya, faktor pemain ke-12 juga merupakan aspek paling penting dalam membawa kejayaan buat skuad Gergasi Merah.

“Suasana hebat tentunya sedikit sebanyak memberi kesan gugup kepada para pemain. Saya harapkan mereka dapat mengawal perasaan itu.

“Penyokong juga sudah tentu membanjiri stadium dan ini semestinya suatu yang mendorong pasukan beraksi dengan lebih baik dalam perlawanan akhir Piala Malaysia esok,” jelasnya.