Cabaran Malaysia pada hari pertama Terbuka China 2026 bermula dengan langkah positif apabila dua beregu utama negara, Pearly Tan-M. Thinaah dan Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie, berjaya mengesahkan tempat ke pusingan kedua.

Beregu wanita nombor satu negara yang juga pilihan kelima kejohanan tidak berdepan masalah untuk melepasi halangan pertama apabila menewaskan gandingan Jepun, Ririna Hiramoto-Kokona Ishikawa dalam straight set 21-16, 21-12.

Pearly dan Thinaah hanya memerlukan 32 minit untuk menamatkan saingan sebelum dijadual bertemu satu lagi pasangan Jepun, Rui Hirokami-Sayaka Hobara, bagi merebut tempat ke suku akhir.

Sementara itu, beregu campuran profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie turut meneruskan kemaraan selepas mengatasi tentangan sengit pasangan Jepun, Hiroki Midorikawa-Misaki Matsutomo.

Pasangan suami isteri itu dipaksa beraksi hingga ke set penentuan sebelum melakar kemenangan 21-15, 16-21, 21-19 untuk menempah tiket ke pusingan kedua.

Mereka bakal berdepan cabaran lebih getir apabila dijadual menentang pasangan pilihan kelima dari China, Guo Xin Wa-Chen Fang Hui, yang mara selepas menewaskan wakil India pada aksi pembukaan.

Bagaimanapun, nasib berbeza menimpa wakil perseorangan wanita negara, Wong Ling Ching, yang tersingkir seawal pusingan pertama.

Ling Ching bermula cemerlang dengan memenangi set pertama, namun gagal mengekalkan momentum sebelum akur kepada pemain Korea Selatan, Sim Yu Jin, 21-17, 16-21, 17-21.

Keputusan itu menyaksikan Malaysia masih mempunyai wakil dalam acara beregu wanita dan beregu campuran yang akan meneruskan cabaran di pusingan kedua Terbuka China 2026.