PIALA Cabaran MILO yang membuka tirainya pada pada Sabtu menyajikan aksi yang menarik selepas hampir dua tahun pertandingan bola sepak peringkat akar umbi tidak dilangsungkan.
Pemilik bersama Akademi JSA, Steven Lim, memberitahu dia berpuas hati dengan sambutan dan sokongan semua pihak yang hadir memeriahkan hari pertama kejohanan selain melahirkan penghargaan kepada rakan-rakan penganjur.
“Saya gembira melihat para pemain cilik ini kembali ke beraksi secara kompetitif di padang. Mereka mempamerkan aksi yang bertenaga malah bersemangat untuk muncul juara edisi sulung pertandingan ini. Saya berharap momentum ini dapat diteruskan oleh semua pasukan menjelang pusingan kalah mati esok.
“Meskipun terdapat beberapa pasukan yang menarik diri pada saat-saat akhir, Piala Cabaran MILO dapat dilaksanakan dengan jayanya,” ujarnya.
Pasukan JSA City Bawah-8 mencuri tumpuan pada hari pertama apabila menerajui kumpulan A dengan rekod tanpa kalah susulan aksi cemerlang mereka menundukkan Harimau Muda 4-1, kemenangan 1-0 ke atas AT Hulu Langat serta kejayaan menewaskan Young Guns FC 2-0.
Sementara itu Ketua Jurulatih JSA City, Thawaan Pereira berbangga melihat aksi para pemainnya pada hari pertama kejohanan.
Jurulatih kelahiran Brazil itu memuji kerja keras anak buahnya yang sentiasa berlatih dengan bersungguh-sungguh sepanjang persiapan menghadapi kejohanan.
“Saya percaya mereka juga akan berusaha keras pada esok sekaligus mengekalkan momentum ini untuk pusingan kalah mati.”
Dalam kategori yang sama, pasukan ATPP Panthers Bawah-8 dan Young Tiger SPT masing-masing merebut kedudukan teratas di dalam kumpulan B. Young Tiger SPT terlebih dahulu mencipta kemenangan 2-0 ke atas JSA United sementara ATPP Panthers mengejutkan Akademi Penang Panther dengan kemenangan tipis 1-0.
Piala Cabaran MILO ini dibahagikan kepada lima peringkat umur iaitu Bawah-8, Bawah-10, Bawah-12, Bawah-14, dan Bawah-17 dan akan menutup tirainya pada Isnin. 12 pasukan terbaik bagi setiap kategori akan beraksi di kejohanan Liga Juara-Juara Remaja MILO.