Kredit Gambar: PSA Squash Tour
Ng Eain Yow bangkit daripada ketinggalan untuk mencipta kejutan terbesar setakat ini pada London Squash Classic apabila menyingkirkan pilihan keempat, Aly Abou Eleinen dari Mesir, di Alexandra Palace, awal pagi tadi.
Pemain ranking ke-18 dunia itu dipaksa bekerja keras sebelum mengatasi Eleinen, yang menghuni ranking ke-11 dunia, menerusi kemenangan 7-11, 11-4, 11-9 dalam aksi pusingan kedua.
Kejayaan tersebut cukup bermakna buat Eain Yow selepas kempen di Budapest Open minggu lalu berakhir dengan kekecewaan apabila dia tersingkir pada peringkat suku akhir.
Eleinen bermula lebih baik apabila menguasai set pertama 11-7, namun Eain Yow segera mengubah rentak permainan untuk mendominasi set kedua dan menyamakan kedudukan dengan kemenangan 11-4.
Pertarungan semakin sengit pada set penentuan apabila kedua-dua pemain saling mengejar mata sebelum wakil Malaysia itu menampilkan ketenangan di penghujung aksi untuk menang 11-9.
Eain Yow mengakui dia memerlukan sedikit masa untuk menyesuaikan diri dengan corak permainan Eleinen yang agresif dan pantas pada awal perlawanan.
“Saya rasa saya bangkit dengan baik. Aly melakukan pukulan dengan begitu pantas dan saya mengambil sedikit masa untuk menyesuaikan diri,” katanya kepada PSA Squash Tour.
Menurutnya, peningkatan prestasi pada set kedua serta penghujung set ketiga menjadi antara faktor penting yang membantunya mengatasi cabaran pemain Mesir itu.
“Saya fikir saya bermain dengan sangat baik pada set kedua dan penghujung set ketiga. Masih ada beberapa perkara yang perlu saya perbaiki, tetapi saya semakin menghampiri tahap yang diinginkan,” katanya.
Eain Yow kini berdepan satu lagi pemain Mesir, Youssef Soliman, dalam usaha memburu tiket ke separuh akhir, dengan kedua-duanya sudah biasa berlatih bersama dan memahami corak permainan masing-masing.