Sumber Gambar : Facebook Olympic Council Of Malaysia
Majlis Olimpik Malaysia dan Majlis Olimpik Bhutan mencipta detik bersejarah apabila memeterai Memorandum Persefahaman (MOU) sekali gus menjadi perjanjian rasmi pertama antara kedua-dua badan Olimpik itu.
Majlis menandatangani MOU berkenaan berlangsung pada Ahad, 20 September 2026 jam 5 petang di Hilton Nagoya, bersempena temasya Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.
Perjanjian itu menjadi platform untuk memperkukuh kerjasama strategik serta perkongsian kepakaran dalam pembangunan sukan dan pergerakan Olimpik antara Malaysia dan Bhutan.
Kerjasama berkenaan turut digerakkan menerusi usaha Presiden Majlis Olimpik Malaysia, Tan Sri Dr Mohamad Norza Zakaria dan Presiden Majlis Olimpik Bhutan, Duli Teramat Mulia Putera Jigyel Ugyen Wangchuck yang masing-masing merupakan Naib Presiden Majlis Olimpik Asia bagi Zon Asia Tenggara dan Asia Selatan.
Dr Norza berkata Majlis Olimpik Malaysia bersedia menawarkan sokongan teknikal kepada Bhutan dengan badminton dan memanah menjadi dua sukan awal yang diberi tumpuan menerusi kerjasama berkenaan.
Menurutnya, Malaysia mempunyai kepakaran, pengalaman serta kemudahan dalam badminton, manakala memanah dipilih kerana ia merupakan sukan tradisional yang banyak diamalkan di Bhutan dan mempunyai potensi untuk dikembangkan melalui perkongsian ilmu serta kepakaran kejurulatihan.
Sementara itu, Putera Jigyel menyifatkan MOU berkenaan sebagai satu pencapaian bermakna buat kedua-dua Majlis Olimpik negara masing-masing dan berharap ia menjadi asas kepada kerjasama lebih erat dalam pembangunan sukan, perkongsian kepakaran, ilmu serta peningkatan kapasiti pada masa akan datang.