TEKONG dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Najmi Syahfiq yakin bahawa dirinya mampu membawa satu kelebihan besar dalam skuad sepaktakraw UPM apatah lagi mewakili Liga Sepak Takraw (STL) 2024.

Peluang bermain di STL dianggap cukup baik untuk dia mengaplikasikan strategi di gelanggang Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) dalam acara regu yang akan membuka tirai pada 6 September nanti.

Tambah pemain berusia 23 tahun itu, dirinya tidak menganggap kelebihan beraksi di STL sebagai satu beban atau tugas besar yang perlu dipikul dalam pentas SUKIPT, malah dia percaya rakan seperjuangan yang lain sudah lebih bersedia untuk bermain kelak.

Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen UPM ke SUKIPT 2024.

“Persediaan kami Alhamdulillah semuanya berada dalam keadaan baik. Saya dipanggil untuk latihan lebih kurang dalam tempoh kurang dua minggu, namun saya rasa skuad kami sudah bersedia sepenuhnya untuk menghadapi perlawanan SUKIPT nanti.

“Walaupun sekarang waktu cuti kuliah, ada pemain yang mempunyai komitmen lain dan sebagainya, tetapi saya rasa itu tidak menjadi masalah untuk pemain lain yang sedia ada.

“Saya yang juga sudah berlatih untuk STL akan menjadikan ia sebagai satu kelebihan dalam pasukan untuk kami saling membantu di dalam gelanggang nanti,” ujar Najmi ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen UPM ke SUKIPT pada Selasa.

Sekitar suasana majlis di Akademi Pusat Sukan UPM Serdang pada Selasa.

Dalam masa yang sama, Najmi turut berkongsi musuh utama dalam sukan sepak takraw SUKIPT edisi kali ini, dimana Universiti Teknologi MARA (UiTM) diletakkan sebagai satu pasukan yang perlu diawasi.

“Saingan kali ini mencabar lebih-lebih lagi daripada UITM, kerana mereka ada pemain kebangsaan juga dan tidak lupa pemain-pemain baharu sepaktakraw mereka,” tambah Najmi.

Skuad sepaktakraw UPM yang dibarisi dengan pemain-pemain berkualiti pastinya meletakkan sasaran untuk kekal sebagai juara bertahan sepaktakraw selepas membolot pingat pada edisi 2022.