BEREGU campuran negara menerima tamparan hebat apabila pemain utama, Toh Ee Wei disahkan mengalami kecederaan ligamen krusiat anterior (ACL) separa pada lutut kiri selepas insiden yang berlaku ketika Kejohanan Badminton Terbuka Singapura minggu lalu.
Perkembangan itu disahkan oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menerusi satu kenyataan rasmi hari ini selepas keputusan imbasan MRI yang dijalankan ke atas pemain berusia 25 tahun itu.
Susulan kecederaan tersebut, Ee Wei dan pasangannya, Chen Tang Jie terpaksa menarik diri daripada saingan Terbuka Indonesia 2026 yang dijadual berlangsung minggu depan.
Kecederaan berkenaan berlaku ketika aksi suku akhir Terbuka Singapura apabila Ee Wei mengalami kesakitan pada lutut kiri sebelum tidak mampu meneruskan perlawanan menentang pasangan India, Dhruv Kapila-Tanisha Crasto.
Malah, pemain kelahiran Melaka itu terpaksa meninggalkan gelanggang menggunakan kerusi roda selepas keadaan kecederaannya bertambah serius.
Menurut BAM, Ee Wei akan menjalani satu lagi pemeriksaan MRI susulan pada Jumaat depan bagi menilai tahap kecederaan dengan lebih terperinci.
Selepas keputusan penuh diperoleh, pasukan perubatan BAM akan menentukan pelan rawatan serta program pemulihan yang paling sesuai buat pemain tersebut.
Kehilangan Ee Wei pastinya memberi kesan kepada kem negara memandangkan gandingan bersama Chen Tang Jie ketika ini merupakan antara harapan utama Malaysia dalam acara beregu campuran.
Setakat ini, BAM belum mengumumkan tempoh sebenar pemain itu akan berehat daripada pertandingan kompetitif sementara menunggu keputusan lanjut daripada pasukan perubatan.
Kredit Gambar: Media Sosial