Croatia’s defender Marin Pongracic #3 and Belgium forward Romelu Lukaku #9 fight for the ball during the international friendly football match between Croatia and Belgium ahead of the 2026 FIFA World Cup football tournament at the Rujevica Stadium in Rijeka on June 2, 2026. (Photo by MARKO PERKOV / AFP)
Romelu Lukaku menandakan kepulangan semulanya ke pentas antarabangsa dengan jaringan lewat permainan ketika Belgium menewaskan Croatia 2-0 dalam aksi persahabatan menjelang Piala Dunia 2026, awal pagi tadi.
Penyerang berpengalaman itu kembali menyarung jersi Belgium selepas berehat panjang akibat kecederaan dan berjaya mencatat nama selaku penjaring pada masa kecederaan untuk melengkapkan kemenangan skuad kendalian Rudi Garcia.
Belgium terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi pemain tengah Aston Villa, Youri Tielemans pada minit ke-38 selepas memanfaatkan penguasaan permainan sepanjang babak pertama.
Croatia yang menurunkan sebahagian besar pemain utama mereka, termasuk kapten Luka Modric, cuba bangkit selepas rehat namun gagal menembusi benteng pertahanan pelawat.
Peluang terbaik tuan rumah hadir menerusi Ante Budimir yang hampir menyamakan kedudukan, namun percubaannya sekadar menggegarkan palang gol ketika permainan memasuki sejam aksi.
Garcia memilih untuk memulakan perlawanan tanpa Lukaku dalam kesebelasan utama dengan Charles De Ketelaere diberi peranan di jentera serangan sebelum penyerang Napoli itu dimasukkan pada babak kedua.
Kehadiran Lukaku memberikan dimensi berbeza kepada serangan Belgium dan beliau akhirnya menutup kemenangan pasukannya menerusi gol pada masa kecederaan, sekali gus menambah koleksi jaringan antarabangsanya kepada 90 gol.
Jaringan itu cukup bermakna buat pemain berusia 33 tahun berkenaan yang kali terakhir beraksi untuk Belgium pada September tahun lalu sebelum diketepikan akibat masalah kecederaan.
Bagi Croatia pula, kekalahan itu menjadi peringatan menjelang aksi pemanas badan terakhir menentang Slovenia hujung minggu ini sebelum memulakan kempen Piala Dunia berdepan England.
Belgium dijadual meneruskan persiapan mereka dengan menentang Tunisia sebelum membuka saingan kejohanan itu menentang Mesir pada pertengahan bulan ini.