PELANTIKAN semula Chang Kim Wai ke pangkuan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bukan sekadar menambah tenaga kejurulatihan, malah membuka ruang luas mempelajari amalan latihan dari kuasa besar badminton dunia, China.
Empat tahun pengalaman mengendalikan akademi di negara Tembok Besar itu menjadikan Kim Wai aset berharga dalam memperkukuh struktur latihan skuad beregu lelaki negara.
Pengarah Kejurulatihan Beregu, Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky berkata, pendedahan luas Kim Wai di China memberi kelebihan besar untuk diterjemahkan dalam sistem latihan tempatan.
Namun jelas Rexy, setiap pendekatan baharu perlu disesuaikan dengan budaya latihan pemain negara sebelum dilaksanakan sepenuhnya.

“Kalau tidak silap, beliau berada di sana dua tahun sebelum pulang dan kemudian ke sana semula dua tahun lagi, mengendalikan akademi, jadi pasti ada sesuatu yang boleh dikongsi,” katanya.
Rexy menambah, antara kekuatan utama sistem China ialah pendedahan pemain kepada pertandingan berterusan setiap minggu yang membentuk ketahanan dan keyakinan tinggi.
“Mereka langsung tidak takut apabila tiba-tiba perlu bermain di kejohanan besar, dan mungkin pendekatan seperti itu boleh kita praktikkan di sini,” ujarnya ketika ditemui di ABM, Bukit Kiara hari ini.
BAM semalam mengumumkan pelantikan rasmi Kim Wai sebagai penolong jurulatih beregu lelaki bermula 4 November ini, selepas meneliti beberapa calon lain termasuk Mohd Zakry Abdul Latif, Ameer Amri Zainuddin dan Lee Wan Wah.