Endrick of Brazil celebrates after scoring the team’s second goal during the international friendly match between Brazil and Egypt at Huntington Bank Field on June 06, 2026 in Cleveland, Ohio. Kirk Irwin/Getty Images/AFP (Photo by Kirk Irwin / GETTY IMAGES NORTH AMERICA / Getty Images via AFP)
Brazil meneruskan rentak positif menjelang kempen Piala Dunia 2026 apabila menundukkan Mesir 2-1 dalam aksi persahabatan antarabangsa yang berlangsung di Huntington Bank Field, awal pagi tadi.
Selepas membelasah Panama 6-2 dalam perlawanan terdahulu, skuad kendalian Carlo Ancelotti sekali lagi mempamerkan persembahan meyakinkan apabila bangkit meraih kemenangan hasil jaringan Bruno Guimaraes dan pemain muda sensasi, Endrick.
Brazil tidak mengambil masa lama untuk membuka tirai jaringan apabila mendahului seawal minit ketujuh. Tekanan tinggi yang dilakukan Bruno Guimaraes memaksa pemain tengah Mesir, Mohanad Lashin melakukan kesilapan sebelum pemain Newcastle United itu menyempurnakan peluang dengan rembatan rendah yang menewaskan penjaga gol Mostafa Shoubir.
Bagaimanapun, kelebihan itu hanya bertahan seketika apabila Mesir berjaya menyamakan kedudukan hasil kesilapan benteng Brazil. Hantaran lemah Marquinhos berjaya dipintas Mostafa Zico yang tenang melepaskan rembatan ke penjuru gawang untuk menewaskan Alisson Becker.
Brazil kemudian menguasai sebahagian besar permainan dengan Vinicius Junior dan Raphinha beberapa kali menguji ketangkasan Shoubir, namun penjaga gol Mesir itu tampil cemerlang memastikan kedudukan kekal terikat menjelang rehat.
Memasuki babak kedua, Ancelotti melakukan beberapa pertukaran pemain bagi memberi peluang kepada anggota skuad lain mendapatkan minit permainan.
Keputusan itu membuahkan hasil apabila Endrick yang dimasukkan sebagai pemain gantian muncul wira pasukan. Penyerang muda Real Madrid itu menyempurnakan hantaran Raphinha selepas gerakan pantas di sebelah kiri untuk menjaringkan gol kemenangan Brazil.
Kemenangan tersebut memberi suntikan keyakinan buat Brazil yang bakal memulakan kempen Kumpulan C menentang Maghribi pada 13 Jun sebelum berdepan Scotland dan Haiti.
Mesir pula akan membuka cabaran Kumpulan G dengan menentang Belgium pada 15 Jun sebelum menghadapi New Zealand dan Iran.