ISTORA Senayan terus membawa tuah buat Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani apabila beregu negara itu muncul juara Terbuka Indonesia 2026 selepas menewaskan pasangan tuan rumah, Raymond Indra-Nikolas Joaquin, hari ini.

Beregu ranking kelapan dunia itu bangkit daripada kekalahan set pertama sebelum mencatat kemenangan 13-21, 21-10, 21-18 dalam tempoh 49 minit pada aksi final.

Kemenangan tersebut menyaksikan Sze Fei-Izzuddin memperbaiki rekod pertemuan kepada 2-1 ke atas pasangan ranking ke-12 dunia itu.

Lebih manis, kejayaan itu hadir selepas mereka turut menewaskan lawan yang sama untuk menjulang kejuaraan Indonesia Masters di venue yang sama pada Januari lalu.

Prestasi cemerlang itu sekali lagi membuktikan Sze Fei-Izzuddin berada dalam momentum terbaik musim ini, selain terus mempamerkan konsistensi dalam saingan Jelajah Dunia.

Dengan dua gelaran di Jakarta dalam tempoh kurang enam bulan, Sze Fei-Izzuddin mengukuhkan lagi status mereka sebagai antara beregu lelaki paling menyerlah di pentas antarabangsa ketika ini.