PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan telah menerima keputusan berkuat kuasa daripada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) berhubung rayuan yang difailkan badan induk itu bersama tujuh pemain warisan skuad kebangsaan.
Menurut FAM, rayuan yang dikemukakan oleh persatuan itu telah ditolak sepenuhnya, manakala rayuan yang dikemukakan oleh pemain pula hanya diterima sebahagiannya.
Susulan keputusan tersebut, hukuman yang dikenakan terhadap tujuh pemain terbabit telah dipinda namun mereka masih tidak dibenarkan beraksi dalam perlawanan rasmi selama lapan bulan lagi.
FAM bagaimanapun memaklumkan alasan penuh keputusan itu masih belum dikeluarkan oleh CAS dan sebarang ulasan lanjut mengenai merit keputusan berkenaan hanya akan dibuat selepas butiran penuh diterima serta diteliti secara menyeluruh.
Dalam masa sama, FAM menegaskan pihaknya menghormati bidang kuasa CAS, namun berpandangan hukuman yang dikenakan kelihatan tidak seimbang, khususnya jika dibandingkan dengan beberapa kes serupa yang pernah diputuskan sebelum ini oleh badan timbang tara sukan itu.
FAM turut menjelaskan bahawa sepanjang prosiding berlangsung, badan induk itu telah mengambil tanggungjawab terhadap kegagalan penyeliaan yang berlaku, sambil memaklumkan siasatan oleh agensi kerajaan Malaysia serta FIFA masih berjalan.
Menurut kenyataan itu lagi, FAM akan terus memberikan kerjasama penuh kepada semua pihak berkuasa berkaitan bagi memastikan segala perkara dapat diselesaikan secara telus.
FAM turut mengakui keputusan tersebut amat mengecewakan terutama buat para pemain yang terlibat, memandangkan mereka tidak terlibat dalam proses pentadbiran serta tidak mempunyai pengetahuan mengenai perkara berkaitan pengurusan dokumentasi.
Kesemua pemain terbabit merupakan warganegara Malaysia yang telah dianugerahkan kewarganegaraan mengikut peruntukan undang-undang negara.
Dalam pada itu, FAM merakamkan penghargaan kepada para penyokong atas sokongan berterusan sepanjang tempoh sukar ini dan menegaskan skuad kebangsaan akan terus fokus terhadap objektifnya dalam usaha memajukan bola sepak Malaysia.