SKUAD hoki lelaki negara berdepan cabaran besar apabila dijadual menentang England dalam aksi separuh akhir Kelayakan Piala Dunia Hoki 2026 dengan misi menamatkan badi kemenangan yang sudah berlarutan selama 23 tahun.
Di atas kertas, England yang menghuni ranking keempat dunia dilihat sebagai pilihan utama untuk mara ke final, namun Malaysia tetap mempunyai peluang untuk mencipta kejutan sekali gus menghidupkan impian beraksi di Piala Dunia 2026 di Belgium dan Belanda pada Ogos nanti.
Kali terakhir Malaysia menewaskan England adalah pada kejohanan Cabaran Juara-Juara 2003 apabila skuad negara mencatat kemenangan bergaya 4-1. Sejak itu, Malaysia gagal menewaskan lawan dari Eropah tersebut dalam sembilan pertemuan terakhir.
Rekod keseluruhan juga jelas memihak kepada England dengan 12 kemenangan daripada 16 perlawanan, manakala Malaysia hanya meraih tiga kemenangan dan satu seri.
Dalam sembilan pertemuan terakhir, Malaysia sekadar mampu mencatat satu keputusan seri 3-3 pada Kejohanan 4 Nations 2019, manakala baki perlawanan menyaksikan England mendominasi termasuk kemenangan besar 7-0 pada Sukan Komanwel 2018 serta 7-2 dalam Piala Sultan Azlan Shah tahun yang sama.
Namun, pertemuan kali ini membawa taruhan yang jauh lebih besar.
Kemenangan ke atas England bukan sahaja akan menamatkan penantian panjang Malaysia untuk menundukkan lawan itu, malah secara automatik melayakkan skuad negara ke final kejohanan dan seterusnya mengesahkan tiket ke Piala Dunia Hoki 2026.
Sekiranya Malaysia tewas di separuh akhir, peluang masih terbuka tetapi laluan menjadi lebih sukar apabila skuad negara perlu memenangi perlawanan penentuan tempat ketiga bagi memastikan tempat ke pentas dunia.
Jika tewas juga dalam aksi penentuan tempat ketiga, nasib Malaysia bergantung kepada keputusan kejohanan kelayakan lain yang berlangsung di Santiago, Chile.
Malaysia hanya akan layak sekiranya ranking dunia mereka lebih tinggi berbanding pasukan yang menamatkan saingan di tempat keempat di kejohanan Chile tersebut. Jika pasukan itu memiliki ranking lebih tinggi, maka impian Malaysia untuk ke Piala Dunia akan berkubur.
Dengan segala kemungkinan yang ada, aksi menentang England bukan sekadar perebutan tempat ke final, tetapi peluang terbaik buat Malaysia untuk menamatkan badi 23 tahun dan mengesahkan tempat ke pentas hoki terbesar dunia.