BEREGU lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik mengakui hampir ‘terkena serangan jantung’ ketika menewaskan rakan senegara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun dalam pertembungan sengit suku akhir Kejohanan Seluruh England.
Wooi Yik mengakui perlawanan menentang rakan sepasukan sentiasa mencabar apabila kedua-dua pasangan saling mengenali corak permainan masing-masing.
“Saya rasa perlawanan hari ini agak sukar untuk kami lepasi kerana bukan mudah menentang rakan sepasukan sendiri dan mereka bermain dengan sangat baik,” kata Wooi Yik kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Menurutnya, kebangkitan Wei Chong-Kai Wun pada set kedua turut meletakkan mereka dalam situasi cukup genting sehingga hampir kehilangan rentak permainan.

Man Wei Chong-Tee Kai Wun memberi tentangan sengit kepada Aaron Chia-Soh Wooi Yik.
“Saya rasa pada set kedua mereka bangkit dan ia membuatkan kami hampir terkena ‘serangan jantung’, tetapi pada set ketiga kami bernasib baik kerana berjaya mendahului jauh,” kata Wooi Yik lagi.
Aaron pula mengakui mereka sedikit kecewa selepas gagal menamatkan perlawanan lebih awal ketika sudah mendahului pada penghujung set kedua.
“Kami sebenarnya sudah mendahului agak jauh sekitar 16-11 dan 19-17, tetapi tewas pada waktu genting itu, namun kami cuba kekalkan fokus dan terus berjuang hingga akhir,” katanya, gembira dapat kembali ke separuh akhir Seluruh England.
Wooi Yik menjelaskan kesilapan pada saat kritikal berlaku apabila mereka terlalu mahu memenangi mata dengan cepat.
“Jika kami terlalu fikir mahu menang mata itu, kami akan mula melakukan kesilapan, jadi kami cuba fokus kepada tiga atau empat pukulan pertama supaya permainan lebih stabil,” ujarnya yang memenangi perlawanan 21-16, 20-22, 21-14 dalam masa 61 minit.
Aaron pada masa sama menyifatkan aksi suku akhir itu sangat memenatkan memandangkan jadual perlawanan yang padat dengan tempoh pemulihan yang singkat.
“Semalam kami bermain perlawanan terakhir dan hari ini bermain agak awal, jadi pemulihan tidak mencukupi dan ia memang sangat memenatkan untuk semua pemain,” katanya yang pernah muncul naib juara di Birmingham pada 2024.