TUNKU Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim sekali lagi menunjukkan kesungguhan dan minatnya untuk membantu pasukan kebangsaan apabila memuat naik Instagram story mengenai Harimau Malaya di laman sosial peribadinya.
Dengan kapsyen, “not a manager, more than a manager” ianya jelas menunjukkan Tunku Ismail serius dalam memberikan sokongan terbaik buat skuad kebangsaan menjelang aksi persahabatan di Stadium Sultan Ibrahim pada Mac.
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menerusi Presidennya, Datuk Hamidin Mohd Amin baru-baru ini menegaskan bahawa Tunku Ismail tidak berminat untuk menjadi pengurus pasukan kebangsaan sebaliknya dia lebih berminat untuk membantu Harimau Malaya mencapai tahap optimum menjelang aksi Piala Asia yang dijadualkan pada Januari 2024 di Qatar.
Bukan pengurus. Lebih lagi …#whatcanyoudo pic.twitter.com/nPzD6JhcHl
— Flash Sukan (@FlashSukan) February 20, 2023
Hamidin juga turut mengesahkan bahawa Stadium Sultan Ibrahim bakal menjadi gelanggang rasmi Harimau Malaya untuk sekurang-kurangnya tiga perlawanan persahabatan yang terletak dalam kalendar Fifa.
Sebagai permulaan, Harimau Malaya bakal berhadapan Turkmenistan dan Hong Kong pada 23 dan 27 Mac 2023 dalam dua aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.
Semua maklum bahawa Johor Darul Ta’zim (JDT) mempunyai stadium dan fasiliti terbaik di Malaysia dengan jurulatih negara, Kim Pan-gon sendiri teruja dan berterima kasih kepada JDT kerana membenarkan mereka beraksi di padang yang baik itu.
ARTIKEL BERKAITAN: KPG setuju dengan TMJ, ucap terima kasih pada JDT
Anak-anak buah KPG juga akan menggunakan Pusat Latihan JDT di Padang Seri Gelam yang dilengkapi fasiliti moden yang diperlukan para pemain dalam bola sepak moden untuk membantu meningkatkan kecergasan dan juga membantu mempercepatkan pemulihan.
Sebelum ini juga, Hamidin dan Kim Pan-gon ada bertemu Tunku Ismail di pejabatnya untuk membincangkan hala tuju skuad kebangsaan dan TMJ juga meminta Pan-gon menyenaraikan peralatan gimnasium yang diperlukan bagi meningkatkan prestasi dan kecergasan pemain.
TMJ juga turut menitahkan kepada JDT untuk memperuntukkan peralatan kecergasan bagi membantu pasukan kebangsaan agar dapat meningkatkan standard bola sepak Malaysia.
Perkara ini bakal dilakukan selepas Harimau Selatan menandatangani perjanjian mega dengan sebuah jenama kecergasan antarabangsa yang kini sedang di peringkat akhir perbincangan.
ARTIKEL BERKAITAN: “TMJ komited bantu skuad kebangsaan” – Hamidin
Jelas disini kesungguhan yang ditunjukkan oleh TMJ dalam membantu menaikkan imej pasukan kebangsaan dan dia juga memberikan ‘hint’ bahawa perkara ini boleh dilakukan tanpa perlu menjadi sebahagian daripada barisan pengurusan Harimau Malaya. What can you do?