PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) sedang merangka satu inisiatif terbaik demi membantu dan meringankan lagi beban keluarga pemain, Faisal Abdul Halim yang terpalit dalam tragedi simbah asid Ahad lalu.
Biarpun pihak Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) sudah memberikan pelbagai keperluan yang cukup buat pemain bola sepak Selangor itu, namun pihak FAM sendiri tidak mengetepikan hal kebajikan keluarga dan pemain yang sedang ditimpa ujian berat itu.
Perkara ini telah dikongsi sendiri oleh Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin yang kelihatan masih berduka akan kejadian yang menimpa bintang Harimau Malaya, sekali gus menegaskan bahawa pihaknya akan menjalankan tanggungjawab yang sepatutnya kepada Faisal.
“Saya akan berbincang bersama jawatankuasa saya untuk memikirkan sumbangan yang terbaik kerana saya sedang melihat bantuan daripada segi apa yang paling baik untuk Faisal. Kita akan maklumkan kemudian.
“Saya juga sudah bercakap dengan Timbalan Presiden FAS, Datuk Seri Shahril Mokhtar dan difahamkan bahawa sebahagian perkara itu semuanya sudah dibiayai oleh FAS dan beberapa pihak lagi.
“Tetapi, dia (Faisal) sebagai pemain Harimau Malaya, kita akan tengok apa yang boleh kita bantu lagi dan cari jalan yang terbaik untuk kita sokong beliau. Ketika ini yang paling mustahak adalah rawatan dia supaya dia cepat sembuh,” ujar Hamidin kepada FLASH SUKAN ketika ditemui di Wisma FAM, Kelana Jaya pada Selasa.
Faisal yang sedang menerima rawatan di salah sebuah hospital di Shah Alam disahkan mengalami lecur tahap empat.
Beberapa pembedahan juga akan dijalankan secara berperingkat oleh pihak hospital, demi mengekang sebarang komplikasi jangkitan kuman sejurus membantu untuk dirinya kembali pulih seperti sediakala.