MENITI ke penghujung musim 2023, pelbagai desas-desus dan khabar angin tentang penghijrahan pemain bola sepak ke kelab baharu untuk aksi Liga Malaysia pada tahun hadapan.
Kali ini pula dikaitkan dengan pemain tengah Kedah Darul Aman FC, Ariff Farhan Md Isa yang dikatakan sedang disunting oleh pasukan yang berpangkalan di Borneo, Kuching City FC.
Bagi menambah keyakinan tentang dakwaan tersebut, pemain berusia 27 tahun itu telah memuat naik satu kiriman di laman media sosial peribadinya yang seolah-olah memberi ‘hint‘ terhadap perjalanan kariernya untuk musim hadapan.
“Alhamdulillah tamat sudah perjuangan untuk tahun 2023. Terima kasih isteri tercinta sentiasa disisi disaat jatuh bangun.
“Terima kasih juga buat coach, barisan kejurulatihan, staff serta rakan seperjuangan dan tak lupa juga terima kasih semua yang sentiasa mendoakan dan menyokong pasukan dari awal hingga ke perlawanan akhir tahun 2023.
“Semoga tahun 2024 akan lebih cemerlang buat kita semua dan terima kasih wira-wira Sang Kenari, semoga kita berjumpa lagi, insyaAllah.
“Saya doakan sahabat-sahabat semua cemerlang dalam karier walau dimana pun anda berada,” ujarnya dalam kiriman yang di hantar dalam laman sosial peribadi Instagram.
Jelas dari kenyataan tersebut, ia kekal menjadi tanda tanya sama ada Ariff kekal menguatkan pasukan Kedah ataupun berhijrah ke skuad lain pada tahun hadapan.
Ariff yang mempunyai prestasi baik bersama Kedah dari segi posisi serangan setakat ini berjaya meraih dua gol dalam perlawanan Liga Super 2023.