POLIS sedang menyiasat pemilik akaun media sosial yang dipercayai menimbulkan kebencian terhadap dua pemain bola sepak kebangsaan, Faisal Halim dan Akhyar Rashid.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, mengesahkan perkara ini berikutan serangan terhadap kedua-dua pemain tersebut.
“… ada sampai laporan kepada kita tentang kewujudan beberapa laman sosial dalam bentuk Facebook dan segala macam yang kemudiannya menyasarkan beberapa pemain bola sepak kebangsaan ini.
“Cara dia merayakan jaringan… itupun diulas… cara dia bersosial, dia berkawan dengan siapa… setiap inci pergerakan (mereka) diulas dan kesimpulan akhir pada hantaran pemilik media sosial ini adalah untuk membibit kebencian.
“Saya baru peringkat awal menerima laporan itu, saya percaya pihak polis akan lakukan langkah seterusnya,” katanya dipetik dalam laporan Astro Awani.

Akhyar dan Faisal jadi sasaran keganasan pihak tidak dikenali.
Saifuddin turut menggesa agar serangan ke atas pemain bola sepak dihentikan, kerana menurutnya, dunia bola sepak ini sangat kecil.
Beliau menekankan bahawa keutamaan seharusnya diberikan untuk meningkatkan prestasi, mencipta keadaan yang kondusif, dan meningkatkan ranking, tetapi dua insiden baru-baru ini amat menyedihkan.
Tegasnya, pihak polis akan melakukan segala yang mungkin untuk menangkap dan mengesan suspek yang terlibat dalam kes ini.
“Saya ulangi jaminan bahawa keselamatan dan keamanan (semua pemain bola sepak di negara ini) terjamin… dan mereka patut tumpu kepada karier mereka menjelang liga yang akan bermula,” ujarnya.