LEGENDA badminton negara, Datuk Cheah Soon Kit mahu menyaksikan pertembungan ‘all-Malaysian final’ antara dua beregu lelaki negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dan Aaron Chia-Soh Wooi Yik di Kejohanan Dunia bulan depan.

Ini berikutan dua ganndingan negara itu mengungguli takhta ranking teratas dunia, namun perlu bijak memanfaatkan status yang dimiliki itu.

“Kalau kedua-dua beregu ini ke final, sudah tentu juara dan naib juara jadi milik kita. Inilah peluang terbaik Malaysia,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran filem Sentuhan Wira, pada Rabu.

Beliau yang juga bekas ketua jurulatih beregu lelaki kebangsaan, menyifatkan perkembangan semasa sangat positif memandangkan jarang sekali Malaysia memiliki dua pasangan dalam kelompok lima terbaik dunia secara serentak.

Namun, Soon Kit menegaskan, sebagai pasangan yang berada di ranking teratas, banyak mata yang memandang dan menganalisis permainan mereka, sekali gus mencari kepincangan untuk dijadikan kelebihan.

“Bila anda di atas, semua akan sasar anda. Jadi pemain kena kerja lebih keras, berdisiplin dan sanggup berkorban untuk kekalkan prestasi,” katanya.

Mengulas peluang di Olimpik Los Angeles 2028, beliau yakin dua wakil beregu lelaki mampu dikekalkan jika aspek kecergasan, disiplin dan pencegahan kecederaan diberi penekanan.

Filem Sentuhan Wira yang mengangkat kejayaan skuad Piala Thomas 1992 dijangka menjalani penggambaran November ini dan bakal membawa penonton menyelami roh perjuangan wira badminton negara.