PERSEKUTUAN Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) mengambil tindakan tegas menggantung lesen kejurulatihan seorang bekas pelumba negara, yang kini berdepan pertuduhan melakukan amang seksual terhadap pelatih wanita bawah umur.
Presidennya, Datuk Amarjit Singh Gill menegaskan badan induk itu tidak akan bertolak ansur terhadap mana-mana pemegang lesen yang mencemari integriti sukan, khususnya membabitkan salah laku seksual terhadap atlet atau pelatih remaja.
“PKBM memandang serius perkara ini dan memberi jaminan bahawa kami sentiasa komited mewujudkan suasana latihan yang selamat dan bebas daripada gangguan. Tindakan awal menggantung lesen jurulatih itu adalah langkah mitigasi demi keselamatan semua,” katanya, dalam kenyataan rasmi, yang diedarkan.

Nur Effandy Rosli didakwa lakukan amang seksual fizikal kepada pelatihnya, di Mahkamah Sesyen Ampang hari ini. |FOTO Harian Metro

Terdahulu, media tempatan melaporkan, Nur Effandy Rosli yang juga pemenang pingat perak Sukan Komanwel 1998, didakwa di Mahkamah Sesyen Ampang atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap pelatih wanita berusia 15 tahun, di sebuah setor simpanan basikal, Jun tahun lalu.
Menurut laporan Harian Metro, jurulatih berusia 58 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norshila Kamaruddin.
Amarjit yang juga Presiden Konfederasi Berbasikal Asia menjelaskan, walaupun tertuduh bukan jurulatih kebangsaan atau negeri ketika kejadian, PKBM tetap memantau kes rapat dan akan merujuk tindakan susulan berdasarkan keputusan mahkamah.
“Semua yang terlibat dalam ekosistem sukan – atlet, jurulatih, pegawai mahupun pentadbir, perlu menjaga integriti dan lapor segera sebarang salah laku kepada pihak berkuasa atau PKBM,” tegasnya lagi.