Kemelut tunggakan gaji di Perak FC bukan sahaja menjejaskan kelangsungan kelab dalamsaingan Liga Super 2025/2026, malah turut mengancam masa depan bakat-bakat muda yang sedang menyinar. Walaupun kelab tidak layak bertanding musim ini, Perak masih berjayamelahirkan pemain berpotensi tinggi.
Antara bintang muda yang menyerlah ialah Moses Raj, pertahanan berusia 19 tahun yang pernah menyertai skuad Bawah 19 tahun kebangsaan. Turut menonjol ialah Daniel Hakimi, pemain sayap kiri berusia 21 tahun yang kini bersama skuad Bawah 23 tahun negara.
Menurut penolong ketua jurulatih Perak FC II musim lalu, Lim Chan Yew, situasi ini amatmencabar buat jurulatih yang mahu memotivasikan pemain. Katanya, apabila gaji tidak dibayar selama berbulan-bulan, sukar untuk mengekalkan semangat juang pemain muda.
“Seperti skuad utama, Perak FC II juga berdepan masalah gaji. Keadaan ini boleh membuatkan pemain hilang minat dan ada yang mungkin terus meninggalkan bola sepak,” kata Chan Yew yang pernah menjalani pemilihan bersama kelab Inggeris, Bournemouth pada 2005.
Namun begitu, Moses dan Daniel tetap menunjukkan komitmen tinggi kerana percaya mereka masih ada masa depan dalam sukan ini. Mereka tetap kekal fokus dan bekerja keras walaupun dihimpit tekanan kewangan pasukan.
Bakat yang dimiliki Moses turut menarik perhatian Selangor FC yang menyerapkannya dalam skuad utama musim ini. Bersama Merah Kuning, Moses berpeluang beraksi di pentas Liga Juara-Juara AFC II yang bakal menjadi pengalaman berharga buatnya.
Chan Yew mengakui Malaysia tidak ketandusan bakat, tetapi isu pembayaran gaji boleh mematahkan semangat anak muda. Beliau berharap kemelut yang melanda Perak FC dan Perak FC II dapat diselesaikan segera demi menjaga masa depan pemain serta industri bola sepak tempatan.
“Saya percaya negara kita tidak ketandusan bakat muda, tetapi masalah gaji yang kerap dihadapi sesetengah pasukan mungkin membataskan potensi seseorang pemain itu,” kata Chan Yew yang turut berharap kemelut gaji Perak FC dan Perak FC II segera selesai dan kebajikan pemain dan pegawai pasukan terbela.